SHAH ALAM, 20 NOV: Perkhidmatan transit percuma di perpustakaan awam menyediakan persekitaran kondusif, selamat dan selesa kepada anak-anak selepas waktu sekolah.
EXCO kebajikan berkata 13 dari 104 cawangan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dibangunkan sebagai “Mesra Transit” terutama ketika peralihan sesi dan selepas waktu persekolahan bagi pelajar sekolah rendah serta menengah.
“Sebanyak 13 perpustakaan terlibat dalam projek perintis ini yang dilengkapi kemudahan bilik air lengkap termasuk pancuran air (shower) untuk mandi.
“Selain itu, transit mempunyai kafe atau pantri bagi memudahkan anak-anak makan sebelum pergi sekolah atau habis sekolah juga tempat solat dan rehat yang selesa,” kata Anfaal Saari.
[caption id="attachment_673899" align="aligncenter" width="1143"]
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menjawab soalan ketika sesi Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kedua yang ke-15 di di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 19 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wakil rakyat Teratai Yew Jia Haur yang ingin tahu inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperkasakan kebajikan dan pendidikan kanak-kanak di negeri ini dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Pada masa sama, Anfaal memaklumkan Kerajaan Negeri melaksanakan program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak untuk memupuk kesedaran kepada pelajar dan guru berkenaan hak dan keselamatan kanak-kanak.
“Program melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Ia telah dijalankan di 11 sekolah termasuk di semua daerah di Selangor serta di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak PPR HICOM,” tambahnya.


