SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri merancang untuk membangunkan sebuah lagi Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) di Cyberjaya tahun depan.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pembangunan itu bagi memenuhi permintaan industri semikonduktor yang semakin meningkat susulan kejayaan IC pertama di Puchong.
“Selepas kejayaan IC pertama di Puchong, yang kini telah mencapai kapasiti penuh, perancangan sedang dijalankan untuk membangunkan taman kedua di Cyberjaya.
“Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) sedang meneroka 'Park 2@Cyberjaya' yang dijangka akan menyediakan ekosistem yang baik untuk menampung lebih ramai jurutera,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Balakong Ong Chun Wei yang ingin mengetahui sama ada IC di Selangor akan ditambah dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sze Han memberitahu Selangor turut bersedia menyumbang 30 peratus hasil pendapatan di IC kepada pelan strategik semikonduktor kebangsaan yang menyasarkan untuk menjana nilai tahunan sejumlah RM100 bilion.
“Dari segi potensi pendapatan, pembangunan IC di Selangor dijangka memberikan pulangan yang tinggi.
“Sebagai contoh, IC di Puchong dijangka menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan profesional dalam tempoh setahun operasi dengan gaji bulanan antara RM5,000 hingga RM7,000,” katanya lagi.




