Gempur kilang haram, perangi budaya ‘buat dulu, daftar kemudian’

3 Jan 2026, 3:00 AM
Gempur kilang haram, perangi budaya ‘buat dulu, daftar kemudian’
Gempur kilang haram, perangi budaya ‘buat dulu, daftar kemudian’

SHAH ALAM, 3 JAN - EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim mahu menggiatkan lagi operasi menggempur kilang haram tahun depan.

Beliau juga mahu memerangi budaya ‘buat dulu, daftar kemudian’ yang berleluasa dalam kalangan pengusaha yang menjalankan operasi tanpa mendapat memperoleh sebarang kelulusan.

“Ini bukan soal meruntuhkan bangunan tetapi meruntuhkan budaya ‘buat dulu, daftar kemudian’. Operasi penguatkuasaan bukannya berlaku tiba-tiba. Pemilik telahpun diberi peluang dan ruang.

“Antaranya termasuk Serahan Notis 7A iaitu makluman rasmi diberi kepada pemilik,” katanya kepada Media Selangor sambil menjelaskan lebih 50 kilang haram diroboh sepanjang tahun ini.

Dalam jawapan bertulis Dewan Negeri Selangor 2025 antara 7 Julai hingga 18 Julai 2025 yang merujuk data setakat Oktober 2024, ada lebih 6,690 kilang haram membabitkan 5,352 hak milik tanah.

Kawasan pentadbiran PBT. Grafik AZWA MALEK / MEDIA SELANGOR

Selain itu, beliau yang turut memegang portfolio pelancongan juga mahu menggiatkan lagi usaha kemasukan pelancong ke negeri ini yang mencecah 6.4 juta orang setakat September.

“Angka menunjukkan tren positif. Dan sasaran lapan juta pelancong untuk Tahun Melawat Selangor 2025 diyakini mampu dicapai.

“Pemulihan dan promosi agresif Surprising Selangor! mula menampakkan hasil. Kempen Tahun Melawat Selangor akan bersambung ke 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.