ad
AGENDA

MB: PTRS ubah prestasi pelajar SPM, sumbang peningkatan gred purata negeri

19 Nov 2024, 5:18 AM
MB: PTRS ubah prestasi pelajar SPM, sumbang peningkatan gred purata negeri

SHAH ALAM, 19 NOV: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) membantu pelajar mencatat keputusan lebih baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tuisyen percuma menampakkan hasil hasil positif apabila Gred Purata Negeri (GPN) mencatat 4.67 berbanding hanya 4.80 pada tahun 2022.

"Kejayaan PTRS ini diukur menerusi dua perkara iaitu GPN dan jumlah lulus yang semakin meningkat. Perolehan GPN semakin mengecil menunjukkan ia semakin baik.

"Selain itu, jumlah mereka yang lulus pada 2023 secara asasnya mencapai 91.14 peratus iaitu 58,082 mendapat keputusan berbanding tahun sebelumnya 89.25 peratus," katanya menjawab soalan wakil rakyat Bukit Lanjan Pua Pei Ling dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin memaklumkan seramai 130,000 pelajar tingkatan empat dan lima menerima manfaat program tersebut untuk tahun ini.

Katanya, program yang menawarkan bimbingan dalam mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, matematik tambahan, sains dan sejarah akan diteruskan tahun depan dengan jumlah pelajar yang sama.

"Untuk tahun depan juga, PTRS akan diperluskan ke sekolah rendah untuk membantu murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) dengan sasaran 20,000 murid," katanya.

PTRS adalah bantuan kelas tambahan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.

Ketika membentangkan belanjawan negeri pada Jumaat, Amirudin berkata sejumlah RM10 juta diperuntuk untuk melaksanakan PTRS pada tahun depan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.