AGENDA

Dana khusus teroka bidang pengajian baharu, seiring keperluan industri

16 Nov 2024, 4:00 AM
Dana khusus teroka bidang pengajian baharu, seiring keperluan industri

SHAH ALAM, 16 NOV: Bagi melahirkan sumber manusia berkemahiran dan mampu memberi impak sosial dan ekonomi, Selangor memperuntuk dana RM2.6 juta bagi Pembangunan Modal Insan dan Sosial.

Dato’ Menteri Besar berkata menerusi dana itu, antara dilaksana ialah kajian komprehensif berhubung keperluan tenaga kerja dalam negeri berbanding penghasilan pelajar dari pelbagai institusi pengajian.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, perkara tersebut penting supaya pelajar institusi pengajian yang dilahirkan seiring dengan keperluan industri dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar pengangguran Selangor.

“Ia juga mampu mengurangkan masalah pemadanan pekerjaan dengan bidang pengajian kelak. Kajian ini juga akan memastikan Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa yang dilantik dan Selangor Jobs and Skills Council sendiri dapat meneroka bidang-bidang pengajian yang baharu yang memberi impak pada masa hadapan,” katanya ketika membentang belanjawan negeri semalam.

Tambah Amirudin, pembangunan modal insan juga memperkenal Program Pembangunan Modal Insan Penjawat Awam dengan peruntukan RM800,000.

“Pelaksanaannya bagi memperkasakan penjawat awam Selangor dengan menggilap kemahiran melalui kursus-kursus berimpak tinggi dalam dan luar negara,” katanya.