SHAH ALAM, 16 NOV: Pelajar India yang melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) akan dibantu melalui Program Bantuan Yuran Pengajian Pelajar India B40.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata, bantuan sehingga RM5,000 bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda dan RM3,000 bagi Diploma diberi secara sekali bayar kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah sepanjang tempoh pengajian dan disalurkan terus kepada bendahari IPTA dan IPTS terlibat.
"Bagi memastikan kebajikan golongan B40 masyarakat India terus dibela, dua program utama akan diteruskan di bawah inisiatif Pembangunan Pendidikan Masyarakat India pada 2025 iaitu Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Program Bantuan Yuran Pengajian Pelajar India B40 dengan anggaran peruntukan RM1.185 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor di sini semalam.
Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah mensasarkan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil daripada keluarga berpendapatan bulanan seisi rumah RM2,000 ke bawah dengan pemberian sumbangan tunai RM300 kepada setiap pelajar setahun.


