ad
BERITA UTAMA

Lonjak kemajuan negeri, 14 inisiatif tumpuan belanjawan 2025

17 Feb 2025, 2:07 AM
Lonjak kemajuan negeri, 14 inisiatif tumpuan belanjawan 2025
Lonjak kemajuan negeri, 14 inisiatif tumpuan belanjawan 2025
Lonjak kemajuan negeri, 14 inisiatif tumpuan belanjawan 2025

Sentiasa memfokuskan kesejahteraan rakyat, Belanjawan Selangor 2025 yang pada 15 November lalu memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor ekonomi, sosial dan teknologi.

Diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, perbelanjaan RM3 bilion bagi mengurus dan meneruskan pembangunan negeri sepanjang tahun ini. Sebanyak RM1.7 bilion diperuntuk kepada perbelanjaan mengurus manakala RM1.3 bilion untuk pembangunan.

Penekanan kepada program kesihatan dan kebajikan warga emas diteruskan, sejajar hasrat menambah baik sistem perlindungan sosial yang merangkumi kebajikan, pendidikan serta pengukuhan ekonomi golongan sasar sebagai teras kesejahteraan rakyat.

Wartawan NADIAH ZAMLUS menyenaraikan inisiatif menarik dalam belanjawan bertema 'Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani’.

 

Tangani masalah strata (RM10 juta)

Bimbang masalah pemilikan rumah memberi kesan kepada nilai aset dan hartanah, Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta bagi dana awalan Tabung Penyelesaian Strata.

Dianggar RM100 juta diperlukan dalam tempoh 10 tahun untuk penyelesaian keseluruhan skim strata yang dikenal pasti di seluruh Selangor.

Jawatankuasa Bertindak Penyelesaian Bangunan Tanpa Hakmilik Strata Negeri Selangor dianggotai Pejabat Tanah Galian Selangor, Lembaga Perumahan Hartanah Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri, PlanMalaysia@Selangor, pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti isu bangunan tanpa hakmilik strata di seluruh negeri.

 

Ambulans percuma empat PBT

Prihatin masalah rakyat yang mahu mendapatkan khidmat penghantaran kecemasan, negeri mewujudkan perkhidmatan Ambulans Kita Selangor. Perkhidmatan itu percuma di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum diperluas ke kawasan lain.

Inisiatif itu bermula tahun ini dengan kerjasama penyedia perkhidmatan sedia ada seperti Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance Malaysia. Rakyat dapat memanfaatkan perkhidmatan itu bagi tujuan kecemasan tanpa perlu risau kos.

Pelaksanaan itu salah satu ikhtiar dalam 5 Tekad 5 Tahun sewaktu menghadapi pilihan raya negeri pada 2023. RM1 juta diperuntuk melalui Tabung Selangor Bangkit.

 

Pusat inkubator (RM5 juta)

Pusat ini menawarkan program pendidikan juga persijilan tertentu dalam teknologi berkenaan.

Pusat itu dikendali Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) menerusi Selangor International Innovation Centre of Excellence.

Pembinaannya mencerminkan komitmen bagi menyiapkan negeri memasuki gerbang kecerdasan buatan (AI). Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan AI lain bagi meluaskan skop AI di Selangor.

 

Sukan Bola Pikel dalam SUKMA 2026

Selaras hasrat menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Pesta Bola Pikel Selangor merangkumi Kejohanan Terbuka Antarabangsa Bola Pikel Selangor.

Ia juga babitkan pertandingan di sekolah serta daerah bagi meningkatkan minat orang muda serta melahirkan bakat-bakat baharu.

PBT akan menambah fasiliti gelanggang bola pikel di taman-taman awam dengan menukar gelanggang badminton di ruang terbuka supaya sukan badminton difokuskan di kawasan tertutup.

Selangor berhasrat menjadi negeri pertama menganjurkan sukan bola pikel dalam Sukan Malaysia selaku tuan rumah kepada Sukma 2026. Untuk itu, sebanyak RM1 juta diperuntuk.

[caption id="attachment_682757" align="aligncenter" width="921"] Antara aksi pemain bola pikel ketika tinjauan Media Selangor di Gelanggang ARENA A.T.A.S @ SACC Mall, Shah Alam pada 13 Januari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

 

20,000 rakyat terima khairat RM1,000

Mulai Jun, seramai 20,000 rakyat dijangka menerima khairat kematian RM1,000 melibatkan peruntukan RM20 juta. Bantuan itu dikhaskan kepada individu berusia 50 tahun ke atas serta golongan kurang upaya (OKU).

Pada 23 November, EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara bagi menyemak silang waris kepada penama skim Khairat Darul Ehsan.

Usaha itu bertujuan memastikan bantuan RM1,000 disalur kepada waris penama yang sah.

 

Pesta Kopi tahun ini (RM1 juta)

Buat julung kalinya, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Festival Kopi Selangor tahun ini bagi mengorak langkah sebagai pemain dalam dunia kopi.

Pesta berkenaan memberi peluang lebih ramai barista bersaing dan meneroka industri kopi dengan peruntukan RM1 juta.

Ia akan menjadi tapak dan ruang untuk barista membangun serta meneroka industri kopi disamping menganjur Asean Barista Championships sebagai peluang untuk barista bersaing dengan pakar dunia kopi di Asia Tenggara.

 

Baik pulih sekolah agama (RM4.5 juta)

Demi keselamatan dan keselesaan pelajar, RM4.5 juta diperuntuk bagi membaik pulih sekolah agama. Peruntukan berkenaan bagi menggantikan kemudahan asas seperti paip air dan pendawaian elektrik lama yang rosak.

Dana pendidikan turut meningkat RM2 juta berbanding tahun lalu iaitu RM69.35 juta kepada RM79.95 juta.

 

Dialisis percuma tiga bulan

Program Iltizam Selangor Sihat (ISS) membantu rakyat menerima bantuan rawatan asas secara percuma termasuk manfaat perlindungan - kematian dan penyakit kritikal.

Meskipun peruntukan program itu dikurangkan daripada RM35 juta kepada RM20 juta, beberapa manfaat baharu diperkenal antaranya rawatan dialisis.

Manfaat rawatan di hospital ISS meliputi rawatan dialisis percuma sehingga tiga bulan dengan had RM10,000. Ini membantu rakyat yang menghadapi penyakit kronik buah pinggang untuk menerima rawatan ‘life-saving’ dialisis.

 

Bantu murid tercicir pelajaran (RM1 juta)

Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang berjaya meningkatkan pencapaian pelajar sekolah menengah diperluas ke sekolah rendah dengan peruntukan RM1 juta.

Program itu akan membantu murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) menerusi Program Literasi & Numerasi.

Pelaksanaan itu rentetan kesan daripada renjatan sistem pembelajaran ketika era pandemik sehingga berlaku masalah keciciran.

 

Buka pusat aktiviti warga emas

Dua Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bakal dibuka di Kuala Langat dan Hulu Selangor tahun ini. Penubuhannya untuk warga emas yang sihat dan dapat menguruskan diri.

Perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan.

Selangor memperuntuk RM400,000 bagi menaik taraf kemudahan dan pembelian aset di PAWE Ampang, Paya Jaras, Setia Alam dan Seri Kembangan pada 2025.

[caption id="attachment_687379" align="aligncenter" width="995"] Peserta membuat pemeriksaan kesihatan ketika program Saringan Kesihatan Peka B40 Percuma DUN Kota Anggerik di Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11, Shah Alam pada 27 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

 

Kertas Putih AI, tingkat perkhidmatan kerajaan

Merangkumi usaha meningkatkan kecekapan khidmat kerajaan dalam sidang Dewan Negeri tahun ini, kapasiti mengaudit teknologi itu selain menilai kaedah AI sebagai pelengkap komuniti pekerja juga berbincang dengan Nvidia, sebuah syarikat teknologi dan semikonduktor terkemuka dunia, menghasilkan AI berdaulat (sovereign AI). AI berdaulat bermaksud AI milik negeri atau negara itu sahaja.

Kertas putih AI merupakan perancangan Kerajaan Negeri bagi memastikan Selangor tidak terperangkap dengan serangan tanggapan selain mengkaji nilai keseluruhan teknologi berkenaan.

 

Pendekkan tempoh kelulusan

Memendekkan tempoh kelulusan Kebenaran Merancang dari 3.5 bulan kepada 14 hari menerusi Speed Selangor. Dasar itu dijangka bermula April tahun ini sejajar agenda Kerajaan Negeri untuk memudahcara perniagaan.

Semua 12 PBT diarah melaksanakan penambahbaikan proses dan tatacara. Bagi permohonan kebenaran merancang fast track, kesemua PBT akan menyeragam tatacara masing-masing dan kelulusan dalam tempoh tujuh hari.

Dasar itu memberi tumpuan kepada industri baharu seperti kecerdasan buatan dan industri sokongan, semikonduktor termasuk elektrik dan elektronik. Selain itu, pembinaan taman industri, perumahan termasuk kategori mampu milik, aeroangkasa serta bidang pembuatan berteknologi tinggi.

 

Bantu keluarga pelajar India berpendapatan rendah

Pelajar India yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan institusi pengajian tinggi swasta dibantu melalui Program Bantuan Yuran Pengajian Pelajar India B40.

Bantuan sekali bayar sehingga RM5,000 bagi ijazah sarjana muda dan RM3,000 bagi diploma diberi kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Dua program utama diteruskan bawah inisiatif Pembangunan Pendidikan Masyarakat India pada 2025 iaitu Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Program Bantuan Yuran Pengajian Pelajar India B40 dengan anggaran peruntukan RM1.185 juta.

Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah mensasarkan pelajar sekolah jenis kebangsaan Tamil daripada keluarga berpendapatan bulanan isi rumah RM2,000 ke bawah dengan pemberian tunai RM300 kepada setiap pelajar setahun.

 

Kecualikan duti hiburan

Pengecualian penuh duti hiburan bagi artis tempatan sempena Tahun Melawat Selangor 2025. Bagi artis antarabangsa, duti hiburan dikurangkan daripada 25 peratus kepada 10 peratus bagi meraikan artis luar negara memeriahkan industri kreatif dan muzik di Selangor.

Dasar baharu bagi pameran bertiket turut diperkenal dengan pengurangan duti hiburan daripada 25 peratus kepada 15 peratus bermula tahun ini. Semua ini dianggarkan membawa implikasi kewangan RM13.17 juta.

Negeri yakin penjimatan di tangan pengguna mampu membawa kebaikan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang beroperasi sepanjang pementasan serta konsert sambil memupuk lebih ramai generasi muda mencungkil bakat.

 

RS-2 diperkenal

Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebagai panduan hala tuju dan pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025 disambung kepada RS-2.

RS-2 bermula dari 2026 hingga 2030 dengan sasaran mengekalkan Selangor sebagai peneraju ekonomi negara. Ia memantau status pelaksanaan program, projek dan inisiatif (PPI) dan 20 pemacu perubahan serta pencapaian 16 makro indikator dalam Kajian Separuh Penggal RS-1.

Sebanyak RM3.5 juta diperuntuk bagi penyediaan dokumen RS-2 melibatkan kajian, sesi libat urus, bengkel, promosi dan dokumentasi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.