SHAH ALAM, 15 NOV: Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor dengan peruntukan RM1.5 juta merupakan antara program kebajikan yang akan diteruskan.
Antara program diteruskan adalah seperti berikut:
- Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor (RM1.5 juta)
- Baucar Jom Shopping Perayaan (RM12 juta)
- Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin (RM3 juta)
- Skim Air Darul Ehsan – Peruntukan (RM40 juta)
- Iltizam Anak Istimewa Selangor (ANiS) (RM2.3 juta)
- Pemerkasaan Wanita Berdaya Selangor (RM2.4 juta)
- Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) (RM200,000)
Kerajaan Negeri turut memperkenalkan program baharu dan menambah baik inisiatif sedia ada untuk memberdayakan ekonomi dan pembangunan desa.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 berkata, program dan projek di bawah Pembangunan Desa dan Ekonomi Kampung Tradisi itu akan dimanfaatkan dengan peruntukan RM4 juta.
"Bagi memberdayakan ekonomi desa, sudah tiba masanya fokus diberikan untuk benar-benar mengenal pasti identiti ekonomi tempatan di kampung.
"Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan untuk mengadakan kursus kemahiran secara percuma kepada komuniti desa untuk melatih seterusnya menjana pendapatan serta peningkatan kemahiran," katanya di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Di samping usaha untuk meningkatkan ekonomi komuniti desa, Kerajaan Negeri juga memberi penekanan dalam pembangunan insan dan pemeliharaan identiti kampung tradisi yang telah menjadi adat dan budaya setempat melalui program kemasyarakatan yang akan dilaksanakan.


