SHAH ALAM, 15 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerima peruntukan tambahan RM3 juta bagi meneruskan program tuisyen percuma pada tahun depan.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata dana tambahan itu menjadikan peruntukan keseluruhan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) adalah RM10 juta.
"PTRS telah terbukti keberkesanan dan kejayaannya apabila keputusan SPM 2023 di Selangor mencatatkan kelulusan 91.14 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 89.2 peratus.
"Manakala jumlah pelajar PTRS yang mendapat keputusan cemerlang Gred A bagi semua subjek pada tahun 2023 seramai 3,552 pelajar, satu peningkatan jika dibandingkan pada 2022," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025.
Seramai 130,000 pelajar tingkatan empat dan lima mengikuti pembelajaran percuma menerusi PTRS pada tahun ini.
PTRS adalah bantuan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, matematik tambahan, sains dan sejarah untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.