SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri menyedia peruntukan RM6 juta untuk melaksana Program Pembangunan Sukan bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2026.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata program berkenaan berupaya mencungkil bakat baharu secara menyeluruh selain persiapan untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2026 ke-22.
"Program pembangunan sukan berprestasi tinggi memerlukan peruntukan mencukupi bagi menjamin kesinambungan dan kejayaan atlet. Ianya perlu dimulakan diperingkat akar umbi, pengembangan bakat dan pengukuhan barisan pelapis hingga ke peringkat elit.
"Pelbagai faktor perlu diambil kira bagi memastikan keperluan pembangunan sukan prestasi tinggi dipenuhi antaranya kejurulatihan, sokongan sains sukan, pengurusan teknologi maklumat serta data, peralatan latihan dan pertandingan, pakej latihan atlet serta infrastruktur latihan," katanya.
Pada Julai lalu, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia memutuskan Selangor bakal menjadi tuan rumah SUKMA 2026, kali kedua selepas menganjurkan temasya sama pada 1998.


