AGENDA

Dana RM20 juta laksana program penggalakan pelaburan, pacu pertumbuhan KDNK

15 Nov 2024, 9:56 AM
Dana RM20 juta laksana program penggalakan pelaburan, pacu pertumbuhan KDNK

SHAH ALAM, 15 NOV: Sejumlah RM20 juta diperuntuk bagi program penggalakan pelaburan sekali gus mengekalkan pertumbuhan sektor perkilangan dan perkhidmatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara aktiviti ialah penyertaan Ekspo Dunia 2025 di Osaka Jepun selain penganjuran Sidang Kemuncak Niaga Selangor(SIBS) dan Pameran Udara Selangor (SAS).

Pada 2 Julai lalu, dilaporkan sumbangan ekonomi Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 25.9 peratus pada 2023, bertambah lebih baik daripada 25.5 peratus tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi negeri ini juga meningkat sebanyak 5.4 peratus, melebihi pertumbuhan sederhana seluruh negara pada kadar 3.6 peratus tahun lalu, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia.

Prestasi ekonomi Selangor dipacu sektor perkhidmatan yang berkembang 6.1 peratus, didorong pertumbuhan subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi.

Sementara SIBS terus mencatat kejayaan apabila nilai transaksi sebanyak RM12.2 bilion direkod bagi siri pertama sementara siri kedua mencatat transaksi RM1.66 bilion. SAS 2024 pula mencatat nilai transaksi lebih RM1.3 bilion selain berjaya menarik lebih 25,000 pengunjung awam.