AGENDA

Selangor antara destinasi utama pelaburan, wujud lebih 31,000 peluang kerja

15 Nov 2024, 9:37 AM
Selangor antara destinasi utama pelaburan, wujud lebih 31,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 15 NOV: Sebanyak 31,055 peluang pekerjaan diwujudkan di Selangor dalam projek pelaburan sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

Dato' Menteri Besar berkata sebanyak 822 projek diluluskan di negeri ini dengan nilai pelabran berjumlah RM35 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2024.

"Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM22.42 bilion adalah pelaburan tempatan manakala RM12.55 bilion (pelaburan asing).

"Selangor telah berjaya mengekalkan kedudukan sebagai salah satu destinasi pelaburan utama Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun 2024," kata Dato' Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025.

Jelas Amirudin, aktiviti pelaburan dalam sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak 79.04 peratus atau 666 projek berjumlah RM27.64 bilion sekali gus membuka 23,366 potensi peluang pekerjaan.

"Manakala, sektor perkilangan adalah sektor kedua terbesar yang menyumbang sebanyak 20.9 peratus atau 155 projek dengan jumlah pelaburan bernilai RM7.33 bilion dan 7,673 potensi peluang pekerjaan diwujudkan.

"Pelaburan dalam sektor utama membabitkan nilai pelaburan RM245,000 daripada pelaburan tempatan dan berjaya mewujudkan 16 potensi peluang pekerjaan," katanya.