SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor berjaya melunaskan sepenuhnya liabiliti hutang berjumlah RM21.09 juta dengan kerajaan persekutuan seperti yang dijanjikan tahun lalu.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan jumlah itu membabitkan baki ansuran akhir Projek Bekalan Air dan Skim Amanah Saham Selangor (ASAS).
"Inilah komitmen pentadbiran ini untuk bukan sahaja merancang tetapi mampu melaksanakan ikhtiar," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 hari ini.
Menurut Amirudin, ia membuka ruang meneruskan strategi hasil baharu dengan penglibatan anak syarikat, badan berkanun dan agensi negeri melalui agihan sumbangan dan dividen.
Katanya, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Lembaga Urus Air Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Worldwide Holdings Berhad menyumbangkan RM30 juta setakat ini.
"(Ia menghampiri) sasaran RM40 juta yang ditetapkan dengan baki akan diterima sebelum akhir tahun ini," katanya lagi mengulas perkara berkenaan.
Sementara itu, jelasnya, negeri menganggarkan hasil berpotensi sebanyak RM12 juta pada 2025 sebagai caj ke atas pemulangan air atau pelepasan bahan buangan yang berisiko untuk pencemaran.
Dalam pembentangan belanjawan tahun lalu, Amirudin berkata Selangor dijangka melunaskan sepenuhnya hutang dengan Putrajaya berdasarkan kebebasan kewangan cemerlang yang dimiliki.


