AGENDA

Negeri sasar buka 10 Pasar Raya Ehsan Mart tahun depan

15 Nov 2024, 9:05 AM
Negeri sasar buka 10 Pasar Raya Ehsan Mart tahun depan

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri menyasarkan pembukaan 10 premis Pasar Raya Ehsan Mart di seluruh negeri menjelang akhir 2025.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata, Ehsan Mart diwujudkan dengan objektif utama memastikan golongan berpendapatan rendah di Selangor terus mempunyai akses secara tetap kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

"Ehsan Mart adalah sebuah pasar raya milik kerajaan negeri yang dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan menawarkan barangan asas pada harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Katanya, menjelang akhir 2026, Ehsan Mart dijangka beroperasi di 56 lokasi atau satu premis di setiap DUN.

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM30 juta tahun depan untuk meneruskan program Jualan Ehsan Rahmah bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.