AGENDA

Selangor peruntuk RM5 juta tubuh pusat perkembangan agama Islam

15 Nov 2024, 9:01 AM
Selangor peruntuk RM5 juta tubuh pusat perkembangan agama Islam

SHAH ALAM, 15 NOV: Pejabat Agama Islam Klang bakal dinaik taraf menjadi Pusat Perkembangan Agama Islam Negeri Selangor membabitkan implementasi kewangan RM5 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pusat itu akan berfungsi sebagai medan memartabat agama Islam selain menjadi sumber maklumat serta boleh melaksana aktiviti berkaitan.

“Bangunan tersebut akan dibaik pulih tanpa mengubah struktur binaan sedia ada. Dahulu bangunan itu merupakan pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Istana Kota Klang yang terletak di tengah Bandar Diraja Klang,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2025.

Tahun ini, Kerajaan Negeri memberi peruntukan tinggi khusus kepada agama Islam bagi memartabatkan syiar Islam sekali gus memberi kesan besar kepada ummah.

Antaranya pemberian dana RM2 juta untuk pengurusan masjid serta RM1 juta untuk Akademi Literasi al-Quran yang dijalankan Jabatan Agama Islam Selangor.