SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor bakal menubuhkan pembangunan Pusat Inkubator kecerdasan buatan (AI) yang menawarkan program pendidikan juga persijilan tertentu dalam teknologi berkenaan.
Ketika membentang belanjawan negeri 2025, Dato’ Menteri Besar mencadangkan pusat itu dikendali Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) menerusi Selangor International Innovation Centre of Excellence.
“Keseluruhan peruntukan untuk kesemua inisiatif AI ini adalah berjumlah RM5 juta. Ini mencerminkan komitmen bagi menyiapkan Selangor memasuki gerbang AI.
“Kerajaan Negeri turut bersedia untuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan AI lain bagi meluaskan skop AI di Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Selain Pusat Inkubator AI Selangor, Kerajaan Negeri akan turut membangunkan Program AI Trailblazer Google, yang dikenali sebagai Inisiatif AI Trailblazers, inisiatif mempromosi inovasi AI generatif dalam sektor perniagaan dan awam.
Amirudin menegaskan AI dijangka memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan ekonomi Selangor pada depan, malah teknologi itu mampu meningkatkan produktiviti, memperbaiki perkhidmatan awam, dan mendorong inovasi dalam sektor-sektor utama.
“AI dijangka memberi impak besar kepada sektor pembuatan Selangor, khususnya dalam memaksimumkan proses pengeluaran, memperbaiki pengurusan rantaian bekalan, dan meningkatkan kualiti produk,” katanya.


