ad
BERITA UTAMA

EXCO: 354 kawasan di Selangor berisiko banjir, 77 di Klang

13 Nov 2024, 1:00 PM
EXCO: 354 kawasan di Selangor berisiko banjir, 77 di Klang

KLANG, 13 NOV: Sebanyak 354 kawasan seluruh Selangor dikenal pasti berisiko mengalami banjir dengan Klang mencatatkan 77 kawasan, paling banyak setakat ini, kata EXCO pengurusan bencana.

Menurut Mohd Najwan Halimi  sebanyak 55 lokasi di Hulu Langat dikesan berisiko berlaku bencana itu, Petaling (52), Kuala Selangor (43), Sepang (42) diikuti Gombak (35), Kuala Langat (27), Hulu Selangor (12) dan Sabak Bernam (11).

"Kita sudah kenal pasti kawasan-kawasan berisiko banjir dengan melihat beberapa faktor. Setakat ini, kawasan ini tidak dinaiki air tetapi tetap digazetkan sebagai berisiko banjir yang perlu ada kerja-kerja tebatan.

"Bagi kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’, sebanyak 79 lokasi dikenal pasti dan Kerajaan Negeri sedang menjalankan kerja-kerja tebatan banjir bagi mengelak kejadian sama terus berulang," katanya selepas meninjau lokasi banjir kilat di Taman Mutiara Bukit Raja 2 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Najwan yang juga EXCO belia menjelaskan Kerajaan Negeri bersiap sedia menghadapi sebarang bencana dengan kapasiti dan keupayaan sedia ada.

"Kita tidak boleh ramal cuaca namun sedikit sebanyak kebimbangan risiko berlaku banjir tetap ada. Setakat ini, kita siap sedia termasuk membabitkan unit pengurusan bencana, pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan.

"Masyarakat juga diminta kekal peka dengan pengumuman dan maklumat terutama yang menetap di kawasan ‘hotspot’ banjir. Beri kerjasama jika diarah berpindah sekiranya berlaku banjir akibat hujan lebat," ujarnya.

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangka Monsun Timur Laut bermula November depan sehingga Mac 2025 dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

Sebagai persediaan, Kerajaan Negeri mengadakan latihan amal dan simulasi bencana membabitkan pelbagai agensi menghadapi Monsun Timur Laut.

Semalam, lima kawasan di daerah Klang dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan. Kawasan itu ialah di Bandar Bukit Raja, Kampung Batu Belah, Rantau Panjang, Meru dan Padang Jawa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.