BERITA UTAMA

EXCO: Puas hati tindakan PBT tangani banjir kilat, terus tingkat usaha

12 Nov 2024, 2:30 PM
EXCO: Puas hati tindakan PBT tangani banjir kilat, terus tingkat usaha
EXCO: Puas hati tindakan PBT tangani banjir kilat, terus tingkat usaha

KLANG, 12 NOV: Kerajaan Negeri berpuas hati terhadap tindakan pantas pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terbabit dalam mengawal insiden banjir kilat di beberapa kawasan, pagi tadi.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata beberapa usaha boleh dipertingkatkan termasuk kawalan lalu lintas akibat kesesakan luar biasa di kawasan terlibat.

“Saya berpuas hati (dengan tindakan pantas PBT) tetapi masih boleh pertingkatkan usaha. PBT terlibat ini boleh bantu kurangkan kesesakan lalu lintas.

[caption id="attachment_672677" align="alignleft" width="500"] EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim bercakap kepada media pada majlis pelancaran kempen istimewa GM Klang sempena Tahun Melawat Selangor 2025 di ruang legar pusat beli belah itu pada 12 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Saya juga minta semua penduduk, khususnya di Klang supaya siap sedia dan jangan leka terutama ketika Monsun Timur Laut (MTL) dan fenomena air pasang besar ini,” katanya pada sidang media.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis pelancaran kempen istimewa GM Klang sempena Tahun Melawat Selangor 2025 di ruang legar pusat beli belah GM Klang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Suee Lim menjelaskan Kerajaan Negeri sudah mengadakan persiapan berdepan MTL sejak beberapa bulan lalu bagi mengelakkan musibah menjadi lebih teruk.

Sebagai contoh katanya, Majlis Bandaraya Diraja Klang menerima peruntukan RM5 juta bagi melaksana kerja pemotongan pokok usang yang selesai bulan lalu.

“Kita sedia maklum dengan isu perubahan iklim yang berlaku sekarang. Jadi kita buat persiapan lebih awal supaya rakyat Selangor terus berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Beberapa kawasan di sekitar Klang, Petaling Jaya dan Shah Alam dinaiki air sehingga 0.4 meter susulan hujan lebat pagi tadi sehingga menjejaskan pergerakan lalu lintas di kawasan terlibat.