ad
AGENDA

Dadah lebih RM28 juta dirampas, terbesar di Johor tahun ini

12 Nov 2024, 11:30 AM
Dadah lebih RM28 juta dirampas, terbesar di Johor tahun ini

JOHOR BAHRU, 12 NOV: Tujuh individu termasuk dalang berusia 33 tahun ditahan dan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM28 juta dalam tiga serbuan awal bulan ini sekali gus merupakan rampasan terbesar di Johor tahun ini.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata kesemua suspek terdiri tiga lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan dua wanita warga asing berumur lingkungan 27 hingga 62 tahun ditahan menerusi serbuan di sekitar bandar raya ini, Iskandar Puteri dan Kluang pada 3 dan 4 November lalu.

“Modus operandi sindiket edar dadah yang aktif beroperasi sejak Ogos tahun ini adalah dengan membungkus semula dadah yang diperoleh dari sumber luar itu dengan menggunakan peket bungkusan jenama minuman terkenal di pasaran untuk mengelirukan polis dan agensi penguat kuasa.

“Sindiket ini mempunyai pelanggan tersendiri dengan pasarannya adalah di Johor dan kumpulan ini boleh dikategori sebagai pemborong. Sepeket dadah yang dibungkus dipercayai dijual antara RM200 hingga RM250," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata dalam tiga serbuan itu, 158,844.8 gram (g) serbuk ekstasi; 21,510 biji pil disyaki ekstasi; 11,500 biji pil erimin 5 serta 110g ketamin dirampas dengan nilai RM28,317,947.60.

Kumar berkata polis turut menyita pelbagai barangan, antaranya peralatan memproses dan pembungkusan semula dadah, empat kereta, pelbagai barangan kemas serta wang tunai mata wang tempatan dan asing dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM263,205.

“Sindiket ini menjadikan rumah teres berpagar dan dikawal sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah. Kesemua dadah yang dirampas ini boleh digunakan 857,784 penagih.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif amphetamine dan ketamin, manakala hasil semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah," katanya sambil menambah kesemua tujuh suspek direman dari 4 November sehingga Khamis ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua suspek warga asing turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.