SHAH ALAM, 10 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda daerah Gombak, Petaling dan Hulu Langat hingga 6 petang.
Cuaca sama turut diramal melanda Kuala Lumpur, seluruh Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor selain beberapa kawasan di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Sarawak dan Sabah.
Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.



