AGENDA

MB: Belanjawan negeri tumpu pelbagai aspek termasuk teknologi, alam sekitar

8 Nov 2024, 6:00 AM
MB: Belanjawan negeri tumpu pelbagai aspek termasuk teknologi, alam sekitar

SHAH ALAM, 8 NOV: Belanjawan negeri 2025 yang dibentang pada 15 November ini menumpukan beberapa aspek termasuk teknologi, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata turut diberi tumpuan pada pembentangan belanjawan nanti berkaitan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

"Untuk masa sekarang, banyak perkara saya bentang pada tahun lalu kita tumpukan seperti Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS), Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan jajaran rel Selangor.

"Jadi pada tahun depan kita akan menumpu beberapa perkara seperti teknologi, alam sekitar dan menjaga kesejahteraan rakyat," katanya menerusi video di Facebook hari ini.

Sehubungan itu, Amirudin mempelawa rakyat Selangor berkongsi idea bagi memastikan belanjawan dirangka mampu memberi nilai tambah terhadap pembangunan negeri.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri tidak menolak potensi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membantu mempermudah dan memperkemas kerja pada masa kini.

"Untuk masuk ke gerbang kehidupan AI perlu sediakan sumber manusia yang baik dan persediaan kukuh termasuk memastikan ekosistem betul-betul membantu semua.

"Bagi anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ada beberapa program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selain sediakan beberapa latihan awal dan 'internship' yang memerlukan," katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut memaklumkan setiap tahun Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan dalam belanjawan untuk mempromosi sektor pelancongan ke peringkat lebih tinggi.

"Selangor ada beberapa kawasan pelancongan berteraskan alam sekitar di Hulu Langat, Banting, Sekinchan, Sabak Bernam dan Hulu Selangor selain kemudahan pelancongan moden seperti taman tema air," ujarnya.

Amirudin dijadual membentang belanjawan negeri 2025 pada 15 November ini, jam 3 petang di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS).

Laporan berita boleh diikuti melalui portal selangorkini.my, Selangor Journal, Selangorkini Mandarin dan Selangorkini Tamil. Orang ramai boleh menonton siaran langsung menerusi https://selangortv.my/ dan Facebook MediaSelangor.

Pembentangan juga disiarkan melalui media sosial Media Selangor seperti Instagram, X, Telegram, TikTok selain di MYTV MANA-MANA.