KAHERAH, 6 NOV: Kerajaan Negeri Selangor mencipta sejarah menjadi negeri pertama di Malaysia menyerahkan laporan matlamat pembangunan mampan (SDG) kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Dato’ Menteri Besar berkata Voluntary Sub-National Review (VSR) atau laporan projek SDG disediakan PLANMalaysia Selangor pada 2022 dan diserahkan tahun lalu.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, enam pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri turut menyerahkan Voluntary Local Review (VLR) masing-masing.
PBT terlibat ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandar Diraja Klang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua jabatan Kerajaan Negeri dan semua anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.
"Kerana konsisten berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pembangunan mampan diimplementasi dalam semua bentuk pembangunan di semua kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena World Urban Forum ke-12 di Pavilion Selangor pada Pusat Pameran Antarabangsa Mesir, di sini.
Terdahulu, Amirudin melancarkan VSR dan VLR selain meluang masa melawat reruai di Pavilion Selangor yang menghimpunkan 12 PBT termasuk beberapa agensi kerajaan.


