ad
BERITA UTAMA

Karnival kerjaya golongan rentan esok, 40 syarikat sedia peluang kerja

27 Okt 2024, 6:05 AM
Karnival kerjaya golongan rentan esok, 40 syarikat sedia peluang kerja
Karnival kerjaya golongan rentan esok, 40 syarikat sedia peluang kerja

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan Negeri menganjurkan Karnival Jobcare Istimewa Selangor khusus untuk golongan rentan mendapat pekerjaan esok.

Berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, program melibatkan 40 syarikat sektor awam dan swasta yang menawarkan pelbagai pekerjaan dari peringkat am hingga profesional.

Antaranya syarikat terlibat dalam karnival dari 9 pagi hingga 4 petang ialah Aeon Co. (M) Berhad, 99 Speedmart, Safeguard Secure Solutions Sdn Bhd dan Mydin Mohamed Holdings Bhd.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata karnival itu merupakan komitmen pentadbiran memperkukuh lagi peluang kerja seterusnya membina komuniti lebih inklusif.

“Inisiatif bertujuan membantu pencari kerja terutamanya golongan rentan seperti orang kelainan upaya (OKU), Orang Asli, asnaf miskin, bekas banduan, warga emas, suri rumah serta gelandangan.

“Ini merupakan usaha berterusan kerana golongan ini sering menghadapi kesukaran dalam mendapat pekerjaan. Bagaimanapun orang ramai juga boleh datang ke karnival ini,” katanya menerusi kenyataan.

Papparaidu turut mengingatkan individu yang berhasrat menghadiri karnival itu membawa resume selain bersedia untuk ditemu duga secara langsung.

“Kerajaan Negeri komited untuk terus menyediakan platform yang menyokong usaha pencarian pekerjaan dan berharap karnival ini dapat memberi impak positif,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.