KLANG, 27 OKT: Selangor memperuntuk lebih RM11 juta sepanjang tahun ini bagi menjayakan beberapa program bantuan khusus untuk masyarakat India.
Dato’ Menteri Besar berkata program itu meliputi pelbagai aspek termasuk kebajikan, pemerkasaan pendidikan, pemberdayaan usahawan serta peruntukan untuk rumah ibadat.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri sentiasa komited menjaga kebajikan semua kaum di negeri ini demi memastikan tidak ada yang tersisih termasuk komuniti India.
“Ini cara dan pendekatan kita kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai keperluan dan memerlukan sokongan tertentu. Kita lihat ada keperluan bantuan pelajaran, infrastruktur dan sebagainya.
“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil kira pendidikan sebagai sumber untuk melaksanakan pembangunan di dalam negara dan negeri ini dan dalam melaksanakan perubahan, pendidikan yang menjadi inti dan elemen penting.
“Sebab itu ketika ditemuramah oleh beberapa media sebelum pilihan raya yang lepas, saya sebutkan apa beza Kerajaan Perpaduan di Selangor dalam tawaran kita. Betul kita ingin bawa pelaburan, bawa banyak peluang pekerjaan. Tapi inti penting yang kita bezakan, kita sediakan peluang pendidikan atau ajak pelabur datang dengan peluang pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan perayaan Deepavali peringkat Selangor di Dataran Klang @ Padang Chetty di sini malam tadi.
[caption id="attachment_670147" align="alignnone" width="923"] Orang ramai hadir dalam majlis perasmian sambutan Deepavali peringkat negeri di Dataran Klang @ Padang Chetty, Klang pada 26 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Terdahulu, Amirudin menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan yuran pengajian institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi pelajar komuniti India B40 berjumlah RM1.54 juta.
Turut disampaikan bantuan membaik pulih infrastruktur sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) berjumlah RM5 juta dan bantuan peralatan usahawan India Selangor (I-Seed) berjumlah RM1 juta selain bantuan kepada rumah ibadat (kuil).
Program Bantuan Baucar Jom Shopping sempena perayaan Deepavali turut memanfaatkan 22,000 penerima kaum India B40 dengan jumlah peruntukan RM4.4 juta tahun ini.