PBT

MBPJ agih sumbangan Deepavali kepada 60 individu

24 Okt 2024, 1:00 PM
MBPJ agih sumbangan Deepavali kepada 60 individu

PETALING JAYA, 24 OKT: Seramai 60 individu di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerima sumbangan sempena sambutan Deepavali minggu depan.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata setiap penerima menerima bantuan wang tunai RM300 sebagai persiapan menyambut hari perayaan.

"Sumbangan ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif MBPJ untuk memberi khidmat komuniti dalam membantu meringankan beban golongan B40 untuk menyambut Deepavali.

"Penerima ini pula kita pilih berdasarkan data e-Kasih di kawasan Petaling Jaya serta yang berdaftar di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar MBPJ," katanya.

Ditemui selepas menyempurnakan majlis serahan sumbangan di Ibu Pejabat MBPJ di sini, Mohamad Zahri berkata seramai 12 keluarga turut menerima sumbangan program Jalinan Kasih 3R PJKita.

"Menerusi program ini mereka diberi peluang pergi ke pusat kitar semula kita dan memilih barangan terpakai sama ada pakaian selain turut menerima baucar pembelian RM300.

"MBPJ sentiasa komited menganjurkan program berbentuk kebajikan bagi menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang kurang bernasib baik sempena hari perayaan, semoga memberi sinar kegembiraan dan pesta cahaya dapat disambut penuh makna," katanya.