PBT

MBSA agih sumbangan Deepavali kepada 1,000 individu

22 Okt 2024, 8:08 AM
MBSA agih sumbangan Deepavali kepada 1,000 individu
MBSA agih sumbangan Deepavali kepada 1,000 individu
MBSA agih sumbangan Deepavali kepada 1,000 individu

SHAH ALAM, 22 OKT: Seramai 1,000 individu di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima sumbangan sempena sambutan Deepavali minggu depan.

Datuk bandar Shah Alam berkata setiap individu menerima set barangan keperluan harian seperti beras, tepung, rempah bernilai RM150 beserta wang tunai RM100.

“Sumbangan perayaan ini kita adakan setiap tahun bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal menyambut Deepavali dengan kegembiraan.

“Pada hari ini, seramai 50 penerima daripada zon MPP16 menerima sumbangan prihatin dan akan diteruskan ke kawasan pentadbiran lain dari semasa ke semasa,” kata Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Beliau ditemui pada majlis serahan Sumbangan Prihatin sempena Deepavali di Dewan Bunga Kertas,TTDI Jaya di sini, hari ini.

[caption id="attachment_669425" align="alignleft" width="392"] K Kavari[/caption]

Tambah beliau sumbangan itu juga dapat merapatkan hubungan perpaduan, ukhuwah dan silaturahim di antara MBSA dan masyarakat.

Penerima warga emas, K Kavari, 66, amat gembira dengan pemberian sumbangan itu menyifatkannya sangat bermakna kerana belum pernah menerimanya sebelum ini.

“Saya belum lagi beli keperluan dapur untuk Deepavali seperti tepung muruku dan minyak masak. Apabila menerimanya ia meringankan beban dan tidak perlu membelinya lagi, hanya tambah apa yang kurang sahaja.

[caption id="attachment_669426" align="alignright" width="385"] S Umasundari[/caption]

“Bagi sumbangan wang tunai saya mahu gunakan untuk beli keperluan lain pada sambutan Deepavali nanti,” katanya.

Bagi ibu tunggal, S Umasundari, 64, beliau mahu memanfaatkan sumbangan wang tunai yang diterima untuk membeli keperluan cucu seperti pakaian.

“Dua orang cucu duduk dengan saya dan sebab itu mahu gunakan wang beli baju mereka. Dengan duit ini dapat saya tambah keperluan Deepavali,” katanya yang menjual muruku secara sambilan.