AGENDA

MB: Selangor laksana projek kitar semula guna hasil kutipan caj beg plastik

21 Okt 2024, 6:20 AM
MB: Selangor laksana projek kitar semula guna hasil kutipan caj beg plastik

SHAH ALAM, 21 OKT: Lebih RM20 juta hasil kutipan caj 20 sen beg plastik yang terkumpul akan diguna dalam melaksanakan projek kitar semula sekali gus mampu menjamin kelestarian alam sekitar.

Dato’ Menteri Besar berkata perincian mengenai usaha seiring pemerkasaan pembangunan mampan dan hijau itu bakal diumum dalam pembentangan belanjawan negeri pada 15 November depan.

“Selangor jadi negeri pertama melaksanakan dasar polisi penggunaan plastik sekali guna sekitar 2009, 2010 dan sekitar RM20 juta kutipan dikumpul sejak dilancar, namun ia bukan sesuatu yang membanggakan.

“Jumlah kutipan ini akan diguna untuk memulakan projek kitar semula bagi menjaga kelestarian alam sekitar dan kehidupan mampan. Menjelang 2030, negara akan melaksanakan polisi plastik sekali guna ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Polisi dan Amalan Penggunaan dan Pengeluaran Mampan (SCP) ASEAN: Menyambut 12 Tahun Kerjasama SCP Jerman-Asia Tenggara di sini hari ini.

Amirudin berkata pentadbirannya juga giat meneroka inisiatif yang menyokong penjagaan ekosistem alam sekitar termasuk menjayakan projek kitar semula sisa elektrik elektronik (e-waste) dengan kerjasama beberapa pihak termasuk syarikat telco Maxis Berhad.

Pada Julai, EXCO alam sekitar memaklumkan sebanyak RM38 juta dikumpul hasil daripada caj 20 sen yang dikenakan untuk setiap beg plastik sepanjang 2020 hingga tahun lepas.

Jamaliah Jamaluddin berkata wang kutipan akan digunakan untuk penganjuran program kelestarian bagi mendidik rakyat mencintai dan memelihara alam sekitar.