GOMBAK, 21 OKT: Kerajaan Negeri menyeru penduduk berkelayakan memohon Skim Air Darul Ehsan (SADE) bagi memenuhi sasaran 600,000 akaun menikmati inisiatif air percuma.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skim khusus kepada warganegara yang menetap atau menyewa di Selangor dengan pendapatan isi rumah bawah RM5,000 itu masih dibuka sepanjang tahun.
“Sejak dari mula kita buka, kita sudah panjangkan lagi pendaftarannya setiap tahun. Kita agak ramai yang layak tetapi mereka tidak tahu mohon.
“Saya percaya ramai tidak tahu, ia tidak dibuat secara automatik kerana kita tidak mahu buat secara pukul rata kerana ada orang yang tidak memerlukan pun air percuma,” katanya.
Terdahulu beliau memyempurnakan program Majlis Sambutan Ulang Tahun Air Selangor ke-5 Bersama Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves di sini, semalam.
[caption id="attachment_669178" align="aligncenter" width="993"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menerima plak penghargaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Afam Saffian Ghazali sempena majlis sambutan ulang tahun Air Selangor ke-5 bersama komuniti DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 20 Oktober 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tambah Amirudin, Kerajaan Negeri tidak berhasrat melonggarkan lagi syarat kelayakan SADE selain pemohon boleh mengemukakan rayuan kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Katanya, ketua komuniti akan diminta mencari penduduk berkelayakan bagi memastikan tiada pihak tertinggal untuk menikmati inisiatif skim air percuma 20 meter padu sebulan.
“Kita akan galakkan ketua komuniti untuk daftarkan lebih ramai orang. Kita anggarkan 600,000 akaun tetapi sekarang ada 300,000 akaun sahaja. Kita akan cari dan tambah giat supaya pendaftaran dibuat,” katanya.
Bermula 1 Oktober 2022, Kerajaan Negeri mengubah syarat kelayakan dengan menaikkan had maksimum pendapatan isi rumah daripada RM4,000 kepada RM5,000 ke bawah.
Jun lalu, Air Selangor memaklumkan seramai 285,673 penerima manfaat SADE dengan kos lebih RM30 juta ditanggung oleh Kerajaan Selangor setiap tahun.
[caption id="attachment_669179" align="aligncenter" width="1251"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk selepas majlis sambutan ulang tahun Air Selangor ke-5 bersama komuniti DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 20 Oktober 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_669170" align="aligncenter" width="1074"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melakukan gimik sepak mula klinik bola sepak Selangor FC ketika majlis sambutan ulang tahun Air Selangor ke-5 bersama komuniti DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 20 Oktober 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_669165" align="aligncenter" width="1027"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melawat reruai Skim Air Darul Ehsan ketika majlis sambutan ulang tahun Air Selangor ke-5 bersama komuniti DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 20 Oktober 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]