AGENDA

Selangor peruntuk RM1.5 juta insentif buat atlet, pegawai SUKMA 2024

18 Okt 2024, 4:00 PM
Selangor peruntuk RM1.5 juta insentif buat atlet, pegawai SUKMA 2024
Selangor peruntuk RM1.5 juta insentif buat atlet, pegawai SUKMA 2024
Selangor peruntuk RM1.5 juta insentif buat atlet, pegawai SUKMA 2024

SHAH ALAM, 18 OKT: Kerajaan Negeri memperuntuk RM1.5 juta pemberian insentif kepada atlet dan pegawai yang mengharumkan nama Selangor pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak Ogos lalu.

Pasukan renang yang cemerlang dengan menyumbang 13 pingat emas, 19 perak dan tujuh gangsa menerima insentif tertinggi berjumlah RM322,900.

Serahan insentif kepada semua pasukan itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan diiringi EXCO Sukan Najwan Halimi.

Ditemui selepas majlis, Amirudin berkata pemberian insentif itu bukanlah sumbangan kewangan semata-mata tetapi sebenarnya ia adalah sebahagian daripada ekosistem yang telah dibangunkan sekian lama.

“Tahun ini kita naikkan (insentif) dan ternyata ia mendorong pasukan dan atlet. Kita ketinggalan empat pingat dan walaupun bermula agak lambat tetapi hampir mencapai sasaran iaitu 60 emas.

“Bagaimanapun, pingat perak tinggi dan jika ditukar kepada emas saya rasa kita boleh mencabar juara keseluruhan. Ini yang perlu dibaiki pihak pengurusan dan bersedia dari sekarang,” katanya.

[caption id="attachment_668872" align="aligncenter" width="977"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) menyampaikan anugerah olahragawati kepada atlet tenpin boling Natasha Roslan (tiga, kanan) sempena majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2023 dan penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 18 Oktober 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

SUKMA ke-21 berlangsung di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos lalu menyaksikan Selangor berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa.

Pada masa sama, turut berlangsung Anugerah Sukan Negeri Selangor 2023 yang menyaksikan atlet dari sukan tenpin boling Natasha Roslan menerima Anugerah Olahragawati manakala Anugerah Olahragawan Soh Wai Ching dari sukan larian menara.

Wai Ching yang kini menyertai kejohanan dunia di Hong Kong diwakili Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia Ravinder Singh.

Sementara itu, Anugerah Jurulatih Terbaik diberikan kepada Gerald Agustin Samuel dan Tan Ee Shya masing-masing sukan tenpin boling dan bola keranjang.

Bagi Anugerah Olahragawati Harapan pula dimenangi Yong Ann Tung dari sukan berbasikal dan Anugerah Olahragawan Harapan Tey Hong Yu sukan ping pong.

Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan pula diberikan kepada Presiden Karate-do Selangor Datuk M Panneerselvam.

Bagi anugerah olahragawan dan olahragawati masing-masing membawa pulang hadiah kemenangan RM10,000. Manakala olahragawan dan olahragawati harapan, tokoh kepimpinan sukan dan jurulatih terbaik masing-masing membawa pulang RM5,000.

[caption id="attachment_668873" align="aligncenter" width="1299"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan anugerah olahragawan kepada atlet larian menara Soh Wai Chin yang diwakili Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia Ravinder Singh (tiga, kanan)
dan olahragawati kepada atlet tenpin boling Natasha Roslan (tiga, kiri) sempena majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2023 dan penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 18 Oktober 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]