AGENDA

MB: Selangor sedia ruang pelaburan, bantu Malaysia kuasai ekonomi serantau

17 Okt 2024, 10:00 AM
MB: Selangor sedia ruang pelaburan, bantu Malaysia kuasai ekonomi serantau
MB: Selangor sedia ruang pelaburan, bantu Malaysia kuasai ekonomi serantau

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Negeri akan menyediakan ruang pelaburan mampan dan kondusif dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar ekonomi di rantau ini.

Dato’ Menteri Besar berkata penubuhan Lembah Klang Raya yang melibatkan Petaling Jaya, Subang, Shah Alam dan Klang merupakan antara langkah merancakkan pelaburan selain turut menawar peluang ekonomi komprehensif.

“Selangor juga antara ahli kluster pembangunan industri bagi wilayah tengah. Projek utamanya ialah Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dengan nilai pembangunan kasar RM57.7 bilion.

“Ini merupakan projek pembangunan daerah Sepang dan Kuala Langat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat Majlis Pelaburan Negara bilangan 7/2024 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Julai, Amirudin memaklumkan Selangor kekal sebagai negeri pilihan pelabur dengan meraih pelaburan berjumlah RM12.4 bilion pada suku pertama tahun ini selain menawar 8,377 peluang kerja meliputi 363 projek.

Beliau berkata laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) itu menunjukkan peningkatan 66.8 peratus berbanding suku pertama 2023 yang merekodkan jumlah pelaburan RM7.44 bilion.

[caption id="attachment_571907" align="aligncenter" width="1120"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato' Mahmud Abbas (tiga dari kiri) ketika melawat ruang pameran selepas melancarkan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS ) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI[/caption]