KUALA LUMPUR, 17 OKT: Pensijilan halal bukan hanya ditumpu kepada industri makanan sebaliknya meliputi pelbagai produk termasuk perkhidmatan.
Ketua penolong pengarah bahagian halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata dengan adanya sijil halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, produk menjadi lebih selamat dan berkualiti.
Jelas Nazihan Idris, ia sekali gus meyakinkan pengguna malah pemilik atau syarikat mampu membawa produk menembusi pasaran global.
“Halal bukan hanya merujuk mepada makanan, minuman tetapi meliputi keseluruhan aspek kehidupan termasuk perkhidmatan, produk, ubat, barang gunaan macam sabun, pencuci.
“Dengan adanya sijil halal, pengguna akan menganggap barang berkualiti, bersih dan menepati hukum syarat. Sebab itu makin ramai cari sijil halal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Seminar Kesedaran Halal sempena Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.
[caption id="attachment_668528" align="alignnone" width="843"] Mariance menyusun produknya dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Awal bulan ini, Dato’ Menteri Besar menggesa usahawan Bumiputera mendapatkan sijil halal bagi memperluaskan rangkaian perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, dengan adanya pengesahan halal berkenaan, produk usahawan boleh menembusi pasaran antarabangsa sekali gus menjamin peningkatan pendapatan.