AGENDA

MB: Miliki keamanan politik, Asean berpotensi jadi watak penting dunia

16 Okt 2024, 5:22 AM
MB: Miliki keamanan politik, Asean berpotensi jadi watak penting dunia
MB: Miliki keamanan politik, Asean berpotensi jadi watak penting dunia

SHAH ALAM, 16 OKT: Pertubuhan serantau Asean berpeluang menjadi watak penting dunia berikutan mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan rantau lain, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, semangat kebersamaan antara negara Asean turut menjadikan pertubuhan itu lebih stabil dan kekuatan yang dibina sejak bertahun lamanya harus dibanggakan.

Jelasnya, Asean juga boleh menjadi pertubuhan disegani dunia kerana rakyatnya berilmu, keamanan politik dan sivil yang baik serta memiliki aset dan nilai peradaban, kesopanan dan kesusilaan.

Memiliki populasi kira-kira 600 juta, tambahnya, krisis seperti isu sempadan tidak berpanjangan dan diselesaikan tanpa menimbulkan suasana tidak baik seperti peperangan.

"Asean perlu lebih berhubung termasuk merungkai isu berpanjangan seperti sempadan, bukan sahaja dengan China tetapi juga Brunei, Indonesia. Namun 'api' itu berjaya malap dan tidak mekar.

"Cuma bila kita jadi pusat penting dunia, di sana kita berdepan detik sukar dan perlu tanganinya. Keseluruhan masyarakat Asia Tenggara punyai kebersamaan atau solidariti untuk bentuk kekuatan.

[caption id="attachment_668381" align="aligncenter" width="707"] Ahli panel yang mengambil bahagian dalam Syarahan Madani Global bertajuk Kepesatan Asean di Kancah Perubahan Serantau di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat, Petaling Jaya pada 15 Oktober 2024. Foto tangkap layar Facebook Parti Keadilan Rakyat[/caption]

"Rantau ini punya potensi jauh lebih baik dan Malaysia yang akan jadi pengerusi Asean (pada 2025) perlu mengangkat pertubuhan ini ke arah lebih tinggi," katanya.

Amirudin berkata demikian sebagai ahli panel Syarahan Madani Global bertajuk Kepesatan Asean di Kancah Perubahan Serantau di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat, Petaling Jaya malam tadi.

Selain Amirudin, panel lain ialah Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Dr Mohamad Fajar Ehsan dan Setiausaha Bahagian Unit Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Sekretariat Kebangsaan Asean Malaysia Dato' Mohd Suhaimi Jaafar.

Pengerusi Kelab Diplomat Muda Malaysia yang juga Biro Antarabangsa Angkatan Muda Keadilan Arif Jeffri menjadi moderator program sempena Malaysia mempengerusikan Asean tahun depan.

Sementara itu, mengulas peranan memperkukuh Asean, Amirudin menjelaskan ia boleh diperluas ke program rakyat kepada rakyat (P2P) berbanding elemen kerajaan kepada kerajaan (G2G) sebelum ini.

"Saya pernah bangkitkan kalau dulu G2G seperti program libatkan ketua negara, setiausaha, jabatan, Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun depan adakan program P2P.

"Wujudkan program kebudayaan, bukan persembahan tarian semua negara tetapi ajak masyarakat negara Asean untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti libatkan masyarakat selain G2G," katanya.

Sebagai contoh katanya, masjid negara ini bekerjasama dengan masjid di Kemboja dan Selangor sejak 2004 mengadakan ibadah korban membabitkan kerjasama Kemboja, selatan Thai dan negara lain.

Selain itu, katanya, Selangor turut menyumbang kepada sekolah agama di Kemboja, malah sukatan pelajaran sekolah agama di negeri ini turut digunakan di sekolah agama negara berkenaan.

"Oleh itu, ia perlu digalakkan dalam kepimpinan Asean bawah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya lebih banyak P2P atau program dijalankan bersama," katanya.