Selangor umum kerangka dasar bekerja dari rumah Isnin ini

3 Apr 2026, 11:02 AM
Selangor umum kerangka dasar bekerja dari rumah Isnin ini

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kerangka dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi menangani impak krisis geopolitik di Asia Barat akan diumumkan Kerajaan Selangor selewat-lewatnya Isnin depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang berlangsung sebentar tadi.

“Kita akan maklumkan dengan lebih rinci pada Isnin akan datang. Kita bertindak dua hari lepas, dengan melaksanakan meja bulat dan hari ini mesyuarat pertama berlangsung.

“Mungkin kalau ada keperluan mesyuarat (kelak) Setiausaha Kerajaan Negeri (Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin) boleh menggantikan saya bagi memastikan kelancaran dan pelaksanaan yang baik dan terancang,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada 3 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MTES hari ini, Amirudin berkata hubungan strategik bersama Putrajaya akan terus diperkukuh bagi memastikan semua pelan lancar.

Menurutnya, kerjasama itu turut melibatkan beberapa agensi persekutuan termasuk Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) yang akan memainkan peranan dalam perkara berkaitan.

Beliau berkata kerajaan persekutuan juga akan meningkatkan kekerapan sesi libat urus bersama menteri besar dan ketua negeri untuk membincangkan serta menyelaraskan pelbagai perancangan.

“Melalui platform ini, kita dapat mengemukakan beberapa perancangan di peringkat negeri supaya selari dengan rencana kerajaan persekutuan.

“Kalau ada kesempatan secara peribadi saya sendiri akan berhubung dengan perdana menteri atau pihak Kementerian Ekonomi supaya selaras dengan rencana dan pelan kerajaan persekutuan,” katanya.

Pegawai perkhidmatan awam persekutuan boleh bekerja dari rumah (BDR) jika mendapat arahan daripada kerajaan atau diarahkan ketua jabatan. Foto: BERNAMA

Kelmarin, Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan aturan BDR melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mulai 15 April.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu bertujuan menjimatkan bahan api selain menjamin kelestarian bekalan tenaga negara dalam mendepani krisis tenaga global.

Pagi tadi, Amirudin memaklumkan barisan pasukan petugas khas bagi menangani impak krisis geopolitik di Asia Barat, akan diumumkan selewat-lewatnya Isnin depan.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

Susulan itu, Iran mengambil langkah drastik menutup dan menyekat Selat Hormuz, yang merupakan laluan penting bagi hampir satu perlima bekalan minyak dunia sebagai respon terhadap konflik tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.