ad
AGENDA

Selangor aktifkan bilik gerakan 24 jam pantau bah, air pasang besar

16 Okt 2024, 3:27 AM
Selangor aktifkan bilik gerakan 24 jam pantau bah, air pasang besar
Selangor aktifkan bilik gerakan 24 jam pantau bah, air pasang besar
Selangor aktifkan bilik gerakan 24 jam pantau bah, air pasang besar

AMPANG JAYA, 16 OKT: Kerajaan Negeri mengaktifkan bilik gerakan 24 jam di seluruh daerah untuk memantau kawasan titik panas banjir dan fenomena air pasang besar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi membolehkan tindakan diambil segera oleh bilik gerakan bencana negeri jika berlaku banjir.

Menurutnya, benteng (ban) sementara turut dibina di beberapa lokasi kritikal sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar yang bermula esok hingga Ahad.

[caption id="attachment_668352" align="aligncenter" width="800"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas melawat mangsa bencana tanah runtuh di Taman Melawati, Ampang Jaya pada 16 Oktober 2024. Turut hadir EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Beberapa ban sementara sedang dalam proses pembinaan susulan keputusan dibuat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor bulan lepas.

“Petang ini saya akan pantau tahap kesiapsiagaan dan akan melihat jika ada ban yang masih belum selesai dibina, arahan akan dikeluarkan untuk menyegerakan tindakan (pembinaan) itu dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selapas meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati di sini, hari ini.

Ditanya mengenai situasi banjir kilat di Hulu Langat, Amirudin memaklumkan kebanyakan mangsa yang berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS) telah pulang ke kediaman masing-masing.

“Kebanyakan banjir kilat yang melanda di beberapa kawasan semalam hanya mengambil tempoh hingga 3 hingga 4 jam, ia bukan bah termenung.

“Kejadian banjir kilat di KL semalam telah menyebabkan air mengalir ke sebahagian kawasan Selangor.

“Negeri akan memantau jika terdapat keperluan mengalihkan penduduk ke PPS dengan melihat situasi banjir kilat,” katanya.

[caption id="attachment_668345" align="aligncenter" width="812"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari melawat mangsa tanah runtuh di Taman Melawati, Ampang Jaya pada 16 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia menjangka Monsun Timur Laut bermula November hingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

Selangor juga berdepan fenomena air pasang besar tertinggi tahun ini pada 18 Oktober depan, dengan jangkaan bacaan paras air laut 5.8 meter.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.