AGENDA

Kanak-kanak GISBH berdisiplin, jaga waktu solat tapi agungkan Abuya

12 Okt 2024, 10:00 AM
Kanak-kanak GISBH berdisiplin, jaga waktu solat tapi agungkan Abuya
Kanak-kanak GISBH berdisiplin, jaga waktu solat tapi agungkan Abuya

KLANG, 12 OKT: Kanak-kanak yang tinggal di rumah amal milik GISB Holdings (GISBH) memiliki akhlak dan disiplin tinggi namun mengagungkan bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau Abuya.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor (Pitas) berkata berdasarkan pengalaman bertemu anak-anak itu, kebanyakan mereka mampu membaca al-Quran dengan baik serta menjaga waktu solat termasuk kerap menunaikan solat malam.

“Mereka bagus, berdisiplin. Ini kelebihan mereka. Tak boleh nafikan mereka ada akhlak yang baik cuma kefahaman dan akidah mereka kena diperbetulkan.

[caption id="attachment_667803" align="alignleft" width="407"] Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Hafiz, Hafiz Haneefa pada Majlis Perasmian Konvokesyen Kali Ke-21 Dan Anugerah Kualiti Pelajar Cemerlang 2024/1446 Maahad / Kolej Hafiz di Centro Mall, Klang pada 12 Oktober 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

“Ada pengalaman kopiah mereka diambil untuk gantikan baharu. Mereka menangis-nangis nak juga kopiah itu sebab ada berkat daripada Abuya. Jadi doktrin ini bahaya kepada anak-anak.

“Ada pandangan jabatan mufti Negeri Sembilan bahawa kita tak dibenarkan memuji terlalu lebih kepada guru-hur kerana beri mudarat, bukan kepada guru sahaja tetapi anak-anak,” kata Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa.

Ditemui pada Majlis Konvokesyen Kolej Hafiz ke-21, beliau berkata sejak dua minggu lalu, seramai 20 tenaga pengajar dalam kalangan ahli Pitas dihantar mengajar hafazan dan tilawah kepada hampir 300 anak GISBH.

“Pitas terlibat juga dengan pasukan khas yang ditubuh bagi memulihkan anak-anak ini. Ini memasuki minggu kedua. Setiap Isnin hingga Jumaat dari 2 hingga 4 petang kita mengajar anak-anak ini.

“Rumah amal didiami mereka ditutup namun mempunyai bacaan yang bagus jadi perlu diteruskan. Kita sediakan guru mengajar. Kita dapat bantu Kerajaan Negeri dan anak-anak ini dari kepompong tidak sihat,” katanya.

Selangor menubuhkan pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang dijumpai di rumah amal GISBH di negeri itu.

Ditubuhkan berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 Oktober, pasukan itu dipengerusikan EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah dan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.