SHAH ALAM, 23 OKT: Pengamalan tarekat Aurad Muhamadiyah secara sembunyi oleh ahli GISB Holdings (GISBH) menjadi punca amalan itu terus meluas, meski difatwa sesat pada 1994.
Selain pengaruh kuat pemimpin al-Arqam Ashaari Muhammad atau Abuya, kumpulan itu menurut timbalan menteri hal ehwal agama, meyakinkan pengikutnya dengan kekuatan ekonomi dimiliki.
Malah, jelas Dr Zulkifli Hasan, mereka juga tidak memahami fatwa yang dikeluarkan hingga memaksa pihak berkuasa membuat langkah drastik, termasuk menghapuskan tarekat tersebut.
"(Ia dilakukan) menerusi operasi bersepadu bersama agensi persekutuan dan negeri, termasuk polis menerusi siri Ops Global. Melalui operasi ini, banyak bahan bukti terkait akidah diperolehi.
[caption id="attachment_664591" align="aligncenter" width="814"]
Polis Kelantan menyerbu tiga buah rumah yang dipercayai menjadi penempatan keluarga pengurusan tertinggi GISB Holdings (GISBH).
di Kampung Panji, Kota Bharu pada 21 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]
"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus memperkukuh akidah dan pegangan umat Islam termasuk ahli GISBH melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiyahan dengan agensi Islam negeri,” katanya.
Bercakap dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Dr Zulkifli menambah enam negeri membuat ketetapan hukum berkaitan GISBH setakat ini, yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
"Mohon doakan agar kita dapat memelihara dan menjaga akidah umat Islam di Malaysia,” katanya.
Minggu lalu, Selangor mewartakan fahaman, ajaran atau amalan ahli GISBH dan rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor berkata fatwa itu diperkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan disiarkan dalam warta Kerajaan Negeri pada 16 Oktober.
Berikutan itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata umat Islam dilarang dan diharamkan beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar atau menyebar ajaran tersebut.


