AGENDA

EXCO: Pasukan khas pulih psikologi, perkembangan fizikal kanak-kanak GISBH

12 Okt 2024, 8:55 AM
EXCO: Pasukan khas pulih psikologi, perkembangan fizikal kanak-kanak GISBH
EXCO: Pasukan khas pulih psikologi, perkembangan fizikal kanak-kanak GISBH

KLANG, 12 OKT: Seramai 435 kanak-kanak yang dijumpai di rumah amal GISB Holdings (GISBH) di negeri ini menjalani proses pemulihan menyeluruh termasuk tahap kesihatan dan pertumbuhan fizikal.

EXCO agama Islam berkata selain menumpukan akidah, aspek pemakanan perlu dititik berat memandangkan kanak-kanak berkenaan tidak mendapat nutrisi lengkap menyebabkan ada bertubuh kecil berbanding usia sebenar.

“Ada berbadan kecil macam tujuh tahun tetapi sebenarnya 10 tahun…terbantut sebab makanan. Mereka hanya tahu biskut kering sebab bila diberikan oreo (biskut), anak ini genggam sehingga malam.

[caption id="attachment_667798" align="alignleft" width="410"] EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah ditemui media pada majlis penutup Kursus Persediaan Pelajar ke Luar Negara anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 14 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Mereka tak pernah rasa biskut yang ada krim di tengah. Maknanya mereka makan apa selama ini? Mereka tidak tahu dunia luar,” kata Dr Fahmi Ngah ketika berucap di Majlis Konvokesyen Kolej hafiz ke-21 hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata pentadbiran negeri berdepan cabaran besar untuk membetulkan semula akidah kanak-kanak berkenaan kerana mereka sudah terpesong selain aspek emosi dan psikologi.

Berikutan itu pasukan khas ditubuhkan Kerajaan Negeri dianggotai pelbagai pihak antaranya Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selain pakar psikologi bagi memulihkan mereka.

“Mereka ini lain kerana tak pernah lihat dunia liar. Tak pernah lihat orang Cina atau India sebab ingatkan ada Melayu sahaja. Sampai umur 18 tahun mereka tahu satu bangsa sahaja.

“Kepercayaan rukun iman mereka ada tujuh, lebih satu daripada enam. Satu lagi adalah berkat Abuya. Ini jadi tanggungjawab besar dan besar sebab kita juga kena lihat masa depan mereka. Mereka pintar dan bakal jadi aset juga,” katanya.

Selangor menubuhkan pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang dijumpai di rumah amal GISBH di negeri itu.

Ditubuhkan berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 Oktober, pasukan itu dipengerusikan Fahmi dan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.