AGENDA

Harimau Malaya seri 1-1 ketika bertemu Auckland FC

11 Okt 2024, 8:45 AM
Harimau Malaya seri 1-1 ketika bertemu Auckland FC

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya terikat 1-1 dengan kelab New Zealand, Auckland FC dalam aksi antarabangsa Tier 2 di Stadium Go Media, Auckland, hari ini.

Skuad kendalian Pau Marti Vicente ketinggalan selepas Francis de Vries meledak gol pembukaan Auckland FC pada minit ke-25 sebelum Nooa Laine menyamakan kedudukan pada minit ke-59.

Vicente menganggap perlawanan itu sebagai ujian terbaik buat pasukannya sebelum menghadapi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand Stadium North Harbour, Isnin ini.

Pengendali dari Sepanyol itu menjelaskan, walaupun Auckland FC adalah kelab baharu, namun pasukan itu memiliki barisan pemain terbaik, lapor Berita Harian.

"Saya percaya kami dapat perlawanan yang bagus menentang Auckland FC. Kelab yang kuat, kelab baru dalam Liga Australia tetapi mereka memiliki pemain yang bagus.

"Untuk kami, ia ujian yang bagus kerana kami akan menentang New Zealand dan kami jangka corak permainan yang lebih kurang sama iaitu lebih kepada fizikal, pantas dan berintensiti tinggi.

"Ramai pemain bermain 45 minit, jadi saya gembira dengan komitmen pemain. Walaupun pemain tidak beraksi 90 minit tapi esok akan ada sesi pemulihan dan Ahad kita akan buat persiapan untuk aksi penting menentang New Zealand," katanya.