BERITA UTAMA

Malaysia lantang bela penindasan Palestin, kecam sikap tidak acuh Barat

8 Okt 2024, 3:00 AM
Malaysia lantang bela penindasan Palestin, kecam sikap tidak acuh Barat
Malaysia lantang bela penindasan Palestin, kecam sikap tidak acuh Barat
Malaysia lantang bela penindasan Palestin, kecam sikap tidak acuh Barat
Malaysia lantang bela penindasan Palestin, kecam sikap tidak acuh Barat
Malaysia lantang bela penindasan Palestin, kecam sikap tidak acuh Barat

Malaysia meneruskan sikap lantangnya di pentas global demi memperjuangkan hak Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel di Tebing Barat dan Gaza.

Dua minggu selepas perang pada 7 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas mahu gencatan senjata di Gaza demi mengelak lebih ramai rakyat Palestin terkorban.

[caption id="attachment_659946" align="aligncenter" width="788"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perasmian Muktamar Masjid SeMalaysia Untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 1446H/2024M di Masjid Wilayah Persekutuan pada 25 Ogos 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Beliau terus konsisten mahu bantuan kemanusiaan disalurkan supaya penduduk terjejas mendapat rawatan serta bekalan makanan bagi mengelak kebuluran, ekoran tiada tanda perang akan berhenti.

Perdana menteri turut menempelak naratif Israel, kononnya perang dimulai tentera Hamas pada 7 Oktober tanpa mengambil kira ia berpunca daripada pencerobohan hak, maruah dan tanah milik Palestin berdekad lamanya.

"Adakah ini tidak penting? Di mana tercampaknya kemanusiaan? Mengapa wujud hipokrasi ini?" katanya pada 11 Mac yang mendapat pujian ramai individu berpengaruh dunia, antaranya penyanyi Maher Zain dan wartawan Perancis Arnaud Bertrand.

[caption id="attachment_656143" align="aligncenter" width="811"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan pidato dalam program Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Pendirian Malaysia menyokong Palestin disuarakan dalam beberapa siri pertemuan dengan pemimpin dari Arab Saudi, Mesir, Turki, Jepun, Australia, Rusia dan Brazil antara 19 Oktober tahun lalu hingga 25 Ogos.

Sikap pemimpin barat yang berdiam diri dengan kezaliman Israel juga dibidas Anwar pada persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di hadapan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada 17 November 2023.

Pada 11 Mac, di depan Canselor Jerman Olaf Scholz pula, Anwar bertegas menentang penjajahan, aparteid, pembersihan etnik atau rampasan hak mana-mana negara, termasuk Ukraine dan Palestin.

Sebagai protes serangan zionis terhadap Gaza, kerajaan Malaysia melarang kapal berpangkalan di Israel berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia sejak empat bulan lepas.

Negara Asia pertama

Malaysia juga membawa 41 rakyat Palestin yang cedera dan 86 waris mereka melintasi sempadan Mesir untuk dirawat di negara ini pada 16 Ogos, menjadikan Malaysia negara Asia pertama memberi bantuan sedemikian kepada Palestin.

Anwar yang mengumumkan perkara itu dalam Himpunan Pembebasan Palestin pada 4 Ogos di Bukit Jalil, Kuala Lumpur memberitahu kumpulan rakyat Palestin itu diterbangkan ke negara ini dengan dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.

[caption id="attachment_658134" align="aligncenter" width="815"] Antara kanak-kanak Palestin yang cedera, selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada 16 Ogos 2024. Foto MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau menghubungi sendiri Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi memohon kerjasama bagi melaksanakan misi membantu semua rakyat Palestin itu.

“Ini tanggungjawab kecil yang kita laksanakan, yang upaya kita lakukan, kalau tanya saya syukurlah kepada Allah kerana kita ada perasaan ihsan, timbang rasa dan tolong ringankan beban. Berapalah sangat 40, 50 orang ini berbanding 40,000 orang yang ditembak ganas oleh Israel,” kata beliau pada 17 Ogos.

Langkah membela Palestin tidak terhenti di situ apabila Anwar terus berunding dengan dua menteri luar Sergey Lavrov daripada Rusia serta Mauro Vieira (Brazil) masing-masing pada 28 Julai dan 25 Ogos di Putrajaya yang menggesa gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan kepada Gaza.

Anwar terus menyelar sikap barat yang bersikap tidak acuh terhadap pembantaian rakyat Palestin oleh Israel. Resolusi menggesa gencatan senjata oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga tidak diendahkan.

Pada 9 September, Anwar mengulangi kritikan terhadap negara barat yang kononnya mengamalkan demokrasi tetapi mendiamkan diri dengan sikap Israel, sewaktu sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di Kuala Lumpur.

"Kita tidak boleh membenarkan Israel dan sekutunya untuk terus melakukan pembunuhan di Palestin. Jadi saya rasa kedudukan kita (Malaysia) adalah sangat jelas.

“Adalah memalukan untuk masyarakat antarabangsa terutamanya negara yang bercakap mengenai demokrasi dan hak asasi manusia untuk tidak mengendahkan fakta ini,” katanya.

Terkesan dengan pembunuhan Ketua Biro Politik Harakat al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) Ismail Haniyeh, Anwar berikrar mempertahan rakyat Palestin seperti pesanan terakhir Ismail yang meminta perdana menteri membela nasib warga Palestin.

Ismail terbunuh dalam satu serangan di Tehran, Iran pada 31 Julai, sekali gus menjejaskan usaha damai Hamas-Israel.

Sejak perang meletus di Gaza, lebih 41,000 rakyat Palestin terkorban dan lebih 96,000 cedera. Perang yang memusnahkan banyak harta benda turut menyebabkan kira-kira 10,000 individu hilang tanpa jejak.

[caption id="attachment_663961" align="aligncenter" width="783"] Wanita warga Palestin Nozha Awad melarikan diri bersama tiga anak kembarnya dari hospital Al Shifa berikutan serbuan Israel pada 21 Mac 2024. Foto REUTERS[/caption]