SEPANG, 7 OKT: Seramai 248 mangsa banjir melibatkan 50 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat tengah hari ini, menurut EXCO pengurusan bencana.
Najwan Halimi berkata mereka terdiri daripada penduduk sekitar Gombak dan Kuala Selangor yang ditempatkan di Dewan MPS Kundang, Sekolah Rendah Kebangsaan Ijok dan Sekolah Kebangsan Bukit Badong.
“Alhamdulillah setakat ini situasi berada dalam keadaan baik, PPS Dewan Kenangan PDT Petaling dan PPS Dewan MBSA Seri Pagi Paya Jaras telah ditutup sepenuhnya. Kebanyakan mangsa telah pulang ke kediaman masing-masing.
"Namun negeri sentiasa berada dalam siap siaga memandangkan cuaca masih tidak menentu. Kita optimis pasukan keselamatan cukup bersedia jika berlaku bencana,” katanya.
Beliau ditemui selepas program Latihan Simulasi Bencana Tanah Runtuh Negeri Selangor di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di sini hari ini.
[caption id="attachment_666927" align="alignnone" width="818"]
Demonstrasi simulasi tanah runtuh yang dipersembah pada Majlis Penutup Program Latihan Simulasi Bencana Tanah Runtuh Bagi Kesiapsiagaan Agensi Respon Peringkat Selangor 2024 di Markas Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jalan Pulau Meranti, Puchong pada 7 Oktober 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Menurut Najwan lagi, negeri kini menumpukan kerja pembersihan di kediaman dan premis terjejas bah seperti dewan serta surau di daerah Paya Jaras dan Kuala Selangor.
“Kerja pembersihan dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT), Team Serve Selangor dan beberapa kumpulan badan bukan kerajaan (NGO).
“Walaupun banjir telah surut, saya nasihat kepada rakyat untuk sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga terutama di kawasan titik panas dan mendengar arahan pihak berkuasa jika bencana melanda,” ujarnya.








