Oleh NOOR AZAM SHAIRI
Pada setiap kelok waktu yang bergulir, selalu ada sekurang-kurangnya sekeping gambar yang mewakili setiap peristiwa yang terungkap pada setiap tahun dan dekad.
Sejarah panjang Palestin yang diduduki oleh rejim Israel sejak 1948 sampai sekarang juga diingati dari dekad ke dekad melalui foto yang menjadi penanda peristiwa dan masa.
Pada tahun ini, World Press Photo Foundation memilih sekeping gambar dari Gaza, sebagai foto terbaik dalam pertandingan kewartawanan foto yang dianjurkannya setiap tahun sejak 1955.
Foto itu dirakam oleh Mohammed Salem, wartawan foto agensi berita Reuters yang sudah 20 tahun bertugas di Gaza.
Ini bukan kali pertama World Press Photo menetapkan foto daripada pendudukan Israel di Palestin sebagai foto terbaik tahunannya.
Pada 2013, ia memilih gambar oleh Paul Hansen, wartawan foto dari Sweden, yang merakamkan perarakan mengebumikan jenazah dua kanak-kanak yang terbunuh dalam satu serangan tentera Israel di Gaza.
Foto Mohammed Salem yang muncul juara pertandingan kewartawanan foto paling berprestij itu menunjukkan seorang wanita memeluk satu jenazah kecil.
Daripada seluruh bingkainya, kita tidak tahu di mana gambar ini dirakam kecuali ada dinding marmar putih tempat wanita itu kelihatan bersandar. Kita juga tidak kenal wajahnya.
Hanya ternampak belakang tangannya menyentuh kepala jenazah yang siap berkafan. Kita juga tidak tahu jenazah siapa yang dipeluknya, lelaki atau perempuan.
Foto itu diberi tajuk “Seorang Perempuan Palestin Memeluk Jenazah Anak Saudaranya”.
Keterangan gambar yang tertulis menamakan wanita itu Inas Abu Maamar. Umurnya 36 tahun. Jenazah yang dipeluknya ialah anak saudara perempuannya bernama Saly, 5, yang terbunuh bersama empat ahli keluarga termasuk ibunya dalam serangan Israel. Gambar dirakam di Hospital Nasser di selatan Gaza pada 17 Oktober 2023.
“Banyak gambar kekerasan yang muncul dari Gaza, tetapi gambar seperti ini menyentuh hati banyak orang. Anda melihatnya dan hati anda terasa sakit,” kata Mohammed mengulas foto kemenangannya selepas pengumuman oleh World Press Photo pada April 2024.
Foto ini terpilih daripada 61,062 gambar yang dihantar untuk penilaian juri oleh 3,851 wartawan foto dari 130 buah negara. Juri World Press Photo menyifatkan foto Mohammed Salem membangkitkan emosi pada setiap orang yang melihatnya.
Mereka juga beranggapan foto itu dirakam “dengan hati-hati dan hormat, sehingga memberikan makna metafora dan sebenar tentang kehilangan yang tidak terbayangkan.”
Foto Mohammed Salem memberi makna yang berlapis-lapis bukan sahaja tentang apa yang berlaku di Palestin dalam tempoh setahun yang lepas tetapi membingkaikan sejarah panjang konflik yang tidak berkesudahan.
Ekspresi wajah
Juri World Press Photo memilih foto yang sudah dipotong daripada bingkai yang lebih luas, yang jelas menunjukkan tempat dan identiti watak di dalam gambar.
Kenapa? Debatnya tentu panjang.
Ada sekeping foto lain (di bawah) yang jelas menunjukkan wajah Inas dengan ekspresi wajah yang meraung duka .
[caption id="attachment_666387" align="aligncenter" width="811"]
Inas Abu Maamar memeluk jenazah anak saudaranya, Saly di hospital Khan Younis, Gaza pada 17 Oktober 2023. Saly terkorban dalam serangan udara Israel. Foto Mohammed Salem/Reuters[/caption]
Gambar yang satu lagi ini lebih memberikan kita pemahaman tentang tempat dan juga identiti wataknya, selain jelas menunjukkan suasana – seperti kita dapat mendengar jeritan yang bergaung daripada kesedihan yang tidak tertanggung.
Dalam gambar yang satu lagi ini juga kita melihat sebuah kerusi plastik di sebelah kirinya. Ada kantong mayat terletak di atasnya.
Pada sisi hujung paling kiri, nampak kaki dan kasut seorang lelaki berpakaian serba biru. Mungkin petugas hospital. Wajahnya tidak kelihatan tetapi dia saksi kepada sebuah kesedihan – barangkali seperti kita yang juga melihat setiap kejadian dari jauh.
Gambar yang dipilih sebagai pemenang nyata telah diasingkan daripada apa sahaja konteks yang menempatkan Inas dan jenazah anak saudaranya di tempat itu, pada suasana itu.
Secara metaforanya, kematian dan penderitaan yang dirasai oleh wanita itu tidak berjejak pada sejarah. Sejarah yang menghantar mereka ke titik itu telah dipadamkan.
“Pada saat-saat seperti ini, fotografi memungkinkan kami untuk berkongsi pesan kepada dunia. Ia memberi peluang kepada orang untuk melihat kami dan apa yang berlaku pada kami,” kata Mohammed Salem.
Namun secara metafora – dan juga secara sebenarnya – apa yang berlaku itu cuba dibingkaikan tanpa konteks dan sejarah.
Barangkali World Press Photo cuba meninggalkan mesej yang tajam tentang bagaimana pembingkaian peristiwa tanpa konteks dan sejarah.
Pemangkasan konteks dan sejarah inilah yang menyebabkan dunia terlupa tentang pencerobohan tanah dan hak, pengusiran penduduk, dan pelenyapan suatu bangsa daripada tanah airnya sendiri yang berlaku secara kejam dan sangat tidak terbayangkan.
Atau mungkin juga World Press Photo mahu kita melihat apa yang berlaku tanpa konteks dan sejarah?
Sejak keganasan Israel ke atas Palestin memuncak bermula 7 Oktober 2023, Al-Jazeera melaporkan sekurang-kurangnya 41,615 orang Palestin terbunuh setakat 30 September 2024. Empat daripada setiap 10 yang terbunuh adalah kanak-kanak.
Sebagai perspektif, sekiranya seorang sahaja kanak-kanak Palestin dikebumikan sehari, seluruh proses pengkebumian itu mengambil masa lebih 45 tahun.


