BERITA UTAMA

Belanjawan Selangor tumpu teknologi AI, tambah baik program kebajikan

27 Sep 2024, 8:29 AM
Belanjawan Selangor tumpu teknologi AI, tambah baik program kebajikan

PELABUHAN KLANG, 27 SEPT: Belanjawan Selangor 2025 yang dijadual dibentang pertengahan November depan bakal menumpukan teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan penambahbaikan program bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) turut diutamakan untuk menjamin kebajikan rakyat negeri ini secara berterusan.

“Dalam merancang belanjawan tahun depan, Selangor beri penumpuan kepada AI dan pada masa sama cuba menambah baik program-program bawah ISP yang mempunyai lebih 40 program.

“Ini bagi memastikan rakyat terus mendapat pembelaan, kebajikan dan pengukuhan ekonomi, sekali gus meningkatkan kadar sumbangan peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra bersama komuniti Pelabuhan Klang serta majlis pecah tanah Pelabuhan Barat 2 hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan Belanjawan Selangor 2025 bakal menekankan persediaan negeri berdepan dampak perubahan iklim dan pemanasan global dengan memperkemas semua agensi berkaitan.