KLANG, 26 SEPT: Kerajaan Selangor berbangga dengan prestasi pelaburan berteras teknologi dan inovasi yang masuk ke negeri ini termasuk pembukaan pusat digital dan data Google di Elmina Business Park, Sungai Buloh.
Dato’ Menteri Besar berkata kemasukan itu merupakan keyakinan pelabur terhadap potensi pembangunan negeri dalam memperkasa sektor berkenaan selain menyokong industri teknologi masa hadapan.
“Pelaburan Google itu dijangka membuka 26,500 peluang pekerjaan baharu. Pentadbiran yakin program hari ini akan mendorong pertumbuhan inovasi dalam kalangan belia serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berteknologi tinggi.
“Dalam masa sama pentadbiran turut menganjur pelbagai program melibatkan pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti setiap tahun. Ia dijalankan dengan kerjasama universiti bawah Kerajaan Negeri iaitu Universiti Selangor dan Universiti Islam Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Berucap pada majlis perasmian penutup Malaysia Techlympics 2024 peringkat zon tengah, beliau berkata setiap tahun pihaknya membelanjakan RM1 juta bagi menjayakan program dan modul berkait sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Kita yakin inisiatif ini bukan hanya tangani masalah pekerjaan, kekurangan jurutera tetapi mampu menjadi bangsa yang mencipta. Dengan jadi pencipta, kita jadi lebih kuat sebab orang menggunakannya,” katanya.
[caption id="attachment_665171" align="aligncenter" width="1173"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang beramah mesra bersama peserta pada majlis penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah di Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Klang pada 26 September 2024. Turut sama EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_665143" align="aligncenter" width="1053"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang (dua, kiri) merasmikan majlis penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah di Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Klang pada 26 September 2024. Turut sama EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah (dua, kanan). Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]


