SHAH ALAM, 25 SEPT: Pentadbiran negeri perlu bergerak dinamik seiring arus semasa bagi memastikan setiap kerangka dasar dapat dilaksana dan disampaikan dengan berkesan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kelewatan mengikuti arus semasa bakal menyebabkan Kerajaan Negeri gagal menangani masalah sebenar yang dihadapi rakyat.
“Selain itu, apa yang paling penting sekali adalah kepercayaan rakyat. Kalau kita buat keputusan tidak betul, salah guna kuasa atau menyeleweng, kita akan hilang kepercayaan yang diberikan rakyat.
[caption id="attachment_664888" align="aligncenter" width="991"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 24 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Bila sudah hilang kepercayaan, kita akan menjadi pentadbiran yang lemah dan masyarakat akan bercakap tidak benar kerana takut dimanipulasi dan yang paling ditakuti, kita akan buat keputusan silap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup pada Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City di sini semalam. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.
Sesi melibatkan lebih 100 pemegang taruh dibahagi kepada lima sektor iaitu Kemampanan Hasil Selangor, Kecerdasan Buatan (AI), Selangor Berdaya Tahan, Pemberdayaan dan Pengupayaan Kebajikan Rakyat serta Perumahan.
Dalam pada itu, Amirudin menyasar memberi lebih keutamaan kepada pembangunan wilayah utara Selangor dalam Belanjawan Selangor 2025 yang akan dibentang November depan.
“Di utara Selangor kita perlu rancang sesuatu kerana kita sudah letak banyak pelaburan di sana dan sekarang kita lihat sudah ada perkembangan menerusi SABDA.
“Fokus kita selepas ini adalah di utara Selangor kerana saya rasa perlukan suntikan kemajuan terutama di Sabak Bernam dan daerah sekitar,” katanya.
[caption id="attachment_664889" align="aligncenter" width="1134"]
Antara tetamu pada majlis Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 24 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]


