AGENDA

Belanjawan Selangor 2025 tumpu majukan pendigitalan, bina pusat pembangunan AI

24 Sep 2024, 6:00 AM
Belanjawan Selangor 2025 tumpu majukan pendigitalan, bina pusat pembangunan AI
Belanjawan Selangor 2025 tumpu majukan pendigitalan, bina pusat pembangunan AI

SHAH ALAM, 24 SEPT: Belanjawan Selangor 2025 yang dijadual dibentang pada November depan menggariskan beberapa cabaran baharu bagi meneruskan momentum negeri sebagai penyumbang ekonomi terbesar negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbirannya berhasrat memajukan sektor pendigitalan khususnya teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi pembinaan pusat pembangunan AI pertama di Selangor.

[caption id="attachment_664760" align="aligncenter" width="788"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan majlis Dialog Belanjawan Negeri Selangor tahun 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 24 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Proses kemodenan ini tidak boleh berhenti, sebaliknya harus berpegang pada satu konsep iaitu penggunaan teknologi untuk kebaikan yang membantu mempermudah serta meningkatkan kejituan.

“Tahun lepas kita telah cadangkan dan minta untuk buat beberapa pusat, antaranya pusat AI dan saya harap kita perlu muktamadkan segera kerana banyak pihak berpendapat AI ini akan terus membawa hala tuju ke depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Selain kemajuan bidang pendigitalan, Amirudin menambah, Belanjawan Selangor 2025 bakal memberi penekanan terhadap persediaan negeri berdepan dampak perubahan iklim dan pemanasan global.

Menurutnya, Selangor perlu berada dalam keadaan berdaya tahan dan memperkemas semua agensi berkaitan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana seperti banjir besar yang berlaku pada 2021.

“Pusat kedua yang saya cadangkan adalah pusat kajian perubahan iklim. Kita telah hadapi bencana pada 2021 dan sekarang sedang berlaku di wilayah utara. Tidak mustahil ia akan kembali lagi ke sini.

“Kita perlu gerakkan seluruh mekanisme rakyat dalam konteks ini. Perkemaskan semua agensi untuk meningkatkan daya tahan. Daya tahan ini yang menunjukkan keupayaan kita yang sebenar,” katanya.

Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2025 yang melibatkan lebih 100 pemegang taruh dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu Kemampanan Hasil Selangor, AI, Selangor Berdaya Tahan, Pemberdayaan dan Pengupayaan Kebajikan Rakyat, serta Perumahan.