SHAH ALAM, 21 SEPT: Beregu lelaki profesional, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei selangkah lagi untuk menyamai rekod legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek selepas mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Terbuka China, sebentar tadi.
Pasangan ranking ke-12 dunia itu menundukkan gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-14, 24-22 pada aksi separuh akhir di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, lapor portal Berita Harian.
Aksi set pertama menyaksikan kedua-dua beregu menampilkan corak permainan seimbang meskipun pada awalnya gandingan negara ketinggalan 7-10 sebelum kembali mengejar dan mendahului 11-10
Gandigan negara kemudiannya mempamerkan penguasaan selepas itu dengan permainan lebih kemas dan gerakan-gerakan yang memerangkap lawan sekali gus menamatkan permainan dengan kemenangan 21-14.
Set kedua berlangsung sengit apabila kedua-dua pasangan saling bertukar servis sehingga terikat 22-22 tetapi Izzuddin-Sze Fei lebih tenang dalam keadaan situasi mata penting apabila berjaya menyudahkan perlawanan dengan keputusan 24-22.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama Izzuddin-Sze Fei mara ke final kejohanan bertaraf Super 1000 dan yang ketiga musim ini selepas menjuarai Terbuka Jepun, bulan lalu dan muncul naib juara Kejohanan Badminton Asia pada April.
Malaysia hanya sekali pernah muncul juara di Terbuka China dalam acara beregu lelaki menerusi Jalani-Razif yang melakukannya pada edisi 1989.
Izzuddin-Sze Fei akan bertemu pemenang perlawanan antara rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dengan gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada aksi final, esok.


