SHAH ALAM, 15 SEPT: Orang ramai termasuk peniaga dipelawa memeriahkan Karnival Alam Sekitar Selangor 2024 pada 13 Oktober ini.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata karnival yang diadakan di Taman Tasik Milennium, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor itu bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Karnival ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung pentingnya menjaga alam sekitar dan mempromosi serta menyokong kempen bebas plastik.
“Kita mengalu-alukan orang ramai bawa keluarga ke karnival ini bagi memeriahkan lagi suasana dengan mengikuti pelbagai program menarik disediakan,” katanya ketika dihubungi.
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan karnival berkenaan.
Sementara itu, Jamaliah turut mengajak mana-mana vendor pengusaha produk mesra alam, barangan tempatan, seni kraftangan dan pelbagai perkhidmatan membuka reruai pada karnival itu.
Tambahnya, penyertaan adalah percuma dengan hanya menempah slot menerusi www.tiny.cc/KAS2024 sebelum 30 September ini.
Menerusi karnival itu, Jamaliah berkata Tengku Amir Shah turut berkenan merasmikan anak tapir yang baharu dilahirkan Julai lalu serta turut menanam beberapa batang pokok.
“Pengisian menarik lain adalah turut diadakan pasar Eko yang menumpukan kedai sifar sisa, fesyen mesra alam, makanan organik dan produk mesra alam serta bengkel interaktif berkaitan kesedaran alam sekitar,” katanya.


