ad
AGENDA

Tuisyen percuma Selangor, 130,000 pelajar tingkatan empat, lima terima manfaat

13 Sep 2024, 1:00 PM
Tuisyen percuma Selangor, 130,000 pelajar tingkatan empat, lima terima manfaat
Tuisyen percuma Selangor, 130,000 pelajar tingkatan empat, lima terima manfaat

SHAH ALAM, 13 SEPT: Seramai 130,000 pelajar tingkatan empat dan lima mengikuti pembelajaran percuma menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) pada tahun ini.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 10,000 pelajar menghadiri kelas secara fizikal di sekolah.

Jelas Ahmad Azri Zainal Nor, pelajar khususnya kurang berkemampuan dibantu meningkatkan prestasi dalam subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, matematik tambahan, sains dan sejarah.

“Tahun lepas 65,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti PTRS. Tahun ini, kita tambah lagi 65,000 pelajar tingkatan empat. PTRS dibuka semua sekolah menengah di Selangor. Satu sekolah dibenar buka hingga dua kelas. Setiap kelas mempunyai lebih kurang 40 pelajar.

“Mereka akan diberi makan dahulu dibekalkan kantin sekolah. Guru dibayar elaun RM50 untuk setiap mata pelajaran,” katanya ketika ditemui Media Selangor baru-baru ini.

[caption id="attachment_663144" align="aligncenter" width="701"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor melakukan simbolik perasmian sempena Majlis Penyerahan Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Putra pada 31 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Beliau berkata peruntukan PTRS ditambah kepada RM10 juta berbanding RM7 juta tahun lalu demi meningkatkan prestasi pelajar.

“Selain penambahan jumlah pelajar, tahun ini kita bangunkan aplikasi e-PTRS untuk meluaskan akses pembelajaran walau di mana sahaja berada.

“Mereka belajar di kelas tambahan tanpa yuran menerusi telefon pintar atau tablet masing-masing. Pengguna juga boleh mengakses menu Video Pecutan Akhir, Video Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan eBookPTRS,” katanya.

PTRS adalah bantuan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, matematik tambahan, sains dan sejarah untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.