ad
AGENDA

Hasrat jadikan pameran udara negeri terkemuka di Asia Tenggara menjelang 2030

12 Sep 2024, 7:32 AM
Hasrat jadikan pameran udara negeri terkemuka di Asia Tenggara menjelang 2030
Hasrat jadikan pameran udara negeri terkemuka di Asia Tenggara menjelang 2030
Hasrat jadikan pameran udara negeri terkemuka di Asia Tenggara menjelang 2030

Oleh Danial Dzulkifly

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Pameran Udara Selangor (SAS) sebagai pertunjukan aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara dan antara terbaik di Asia menjelang 2030.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pameran yang semakin berkembang itu disertai pelbagai negara, sekali gus membuktikan Selangor antara hab penerbangan utama di rantau ini.

“Memandangkan Selangor berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pintu masuk ke Asean, SAS bersedia mewakili rantau ini, sebuah wilayah yang menempatkan lebih 680 juta penduduk.

[caption id="attachment_662938" align="aligncenter" width="710"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Shah Alam pada 12 Septembar 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Kami mempunyai sasaran menjadikan SAS pertunjukan udara terkemuka di Asia Tenggara dan antara yang terbaik di Asia menjelang 2030.

"Malah, ada negara jiran yang kini berhasrat menganjurkan pertunjukan udara mereka sendiri selepas melihat kejayaan SAS," katanya berucap melancarkan SAS di sini hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan ke pameran edisi keempat itu dan disertai EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan pimpinan negeri lain.

Dalam pada itu, Amirudin berkata sektor penerbangan yang berdepan cabaran ketika pandemik Covid-19 semakin pulih dan terdapat keperluan meningkatkan industri berkenaan.

Menurutnya, Selangor berhasrat menjadi hab perdagangan utama Asean dengan mewujudkan ekosistem kondusif, bakat mahir dan pembangunan mampan menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

[caption id="attachment_662937" align="aligncenter" width="718"] Pengunjung melawat pameran pesawat statik sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Shah Alam pada 12 Septembar 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Di bawah RS-1, langkah kita untuk membangunkan pelan sosioekonomi jangka sederhana bukan sahaja menjadikan Selangor negeri paling maju dari segi ekonomi tetapi juga mesra untuk didiami.

“Selangor mempunyai penduduk paling ramai, jadi kita perlu meningkatkan kumpulan tenaga kerja, dan itu adalah pendorong selain perkongsian aktif Kerajaan Negeri dengan syarikat, termasuk sektor penerbangan,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 41 memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani pada pelancaran SAS hari ini.

SAS dianjur bermula hari ini sehingga 14 September menampilkan pameran aeroangkasa dari lebih 45 negara, selain dijangka menarik 25,000 pengunjung dengan sasaran nilai transaksi RM1.3 bilion.

Mula dianjur pada 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Selangor menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.