ad
AGENDA

Ibu, teman lelaki dipenjara dua tahun, dera kanak-kanak perempuan

10 Sep 2024, 8:57 AM
Ibu, teman lelaki dipenjara dua tahun, dera kanak-kanak perempuan

KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Ibu tunggal dan teman lelakinya dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan bon berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menganiaya anak perempuannya berusia lima tahun sehingga cedera.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh masing-masing berumur 32 dan 26 tahun, membuat pengakuan bersalah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama melakukan penganiayaan dengan cara menyiram air panas, memukul, memijak dan mencubit sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak perempuan itu.

Kesalahan terbabit dilakukan di sebuah rumah di Jalan Desiran Malawati, Kuala Selangor antara 13 Ogos hingga 4 September lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar yang mengendalikan prosiding memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman berat mengambil kira usia mangsa masih kecil yang seharusnya dilindungi ibunya sendiri.

"Selain itu, mangsa akan mengalami trauma dan kesan psikologi berpanjangan. Justeru, hukuman setimpal perlu bukan sahaja sebagai pengajaran kepada tertuduh, tetapi juga orang awam supaya tidak mendera kanak-kanak," katanya.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana perlu menanggung adik-beradik mereka.

Nurul Mardhiah kemudian memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara dua tahun secara serentak bermula dari tarikh ditangkap pada 4 September lalu.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan itu yang masing-masing merupakan peniaga dan bekerja sendiri menyempurnakan bon berlakuan baik selama dua tahun selepas hukuman berjalan.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian seorang kanak-kanak perempuan dipercayai didera ibu kandungnya dan kekasih wanita itu terbongkar selepas perbuatan terbabit diceritakan mangsa kepada neneknya yang kemudian memaklumkan kepada bapa kandungnya berusia 28 tahun.

Perkara itu membawa kepada penahanan ibu kandung mangsa pada 4 September lalu di rumahnya di sekitar Kuala Selangor manakala teman lelaki wanita itu diberkas di sebuah rumah di Sik, Kedah kira-kira 4.30 petang.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.